Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: PH gagal interaksi dengan rakyat isu Icerd
Diterbitkan:  Mar 24, 2019 2:32 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk berinteraksi dengan orang awam menyebabkan ia tidak dapat menyekat bantahan terhadap rancangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), kata Khairy Jamaluddin.

Dalam wawancara bersama R.AGE, bekas menteri belia dan sukan itu berkata beliau percaya kerajaan dapat meneruskan rancangan itu jika melakukan perbincangan dan interaksi (engagement) yang cukup dengan orang ramai.

"Ia boleh dilakukan, tetapi ia perlu melalui penerangan berterusan (syndication) yang banyak dengan orang awam.

"Kita perlu faham bagaimana pengecualian dan penilaian dibuat, sama ada ia terikat dengan masa...," katanya seperti dipetik sisipan akhbar The Star itu, hari ini.

"Ini adalah persoalan kompleks dan melainkan anda ada pemahaman yang baik atau penerangan yang luas tentang Icerd, ia akan dilihat melalui perspektif negatif sebagai sesuatu yang sama sekali tidak diterima orang ramai orang Melayu dan Islam," katanya lagi.

Beliau mendakwa usahanya untuk memberi amaran kepada kerajaan tentang kemarahan yang mungkin tercetus akibat rancangan itu diabaikan.

Khairy Jamaluddin

Pada Disember lalu, kira-kira 50,000 membanjiri Kuala Lumpur untuk menyertai himpunan yang pada mulanya untuk membantah rancangan itu.

Ia kemudian menjadi acara kesyukuran selepas kerajaan mengumumkan tidak akan meratifikasi Icerd.

Malaysia merupakan satu daripada dua negara majoriti Muslim di dunia yang tidak meratifikasi konvensyen PBB trsebut.

Pihak yang membantahnya berkata ia boleh mengancam kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan hak istimewa bumiputera.

Mereka yang menyokongnya pula berkata ia boleh diratifikasi dengan pengecualian terhadap beberapa kandungannya.

'Kedudukan istimewa Melayu tak terancam'

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno berkata beliau secara peribadi tidak merasakan hak istimewa Melayu akan terancam di bawah konvensyen itu.

"Tetapi ada kebimbangan bahawa isu yang dianggap sensitif oleh masyarakat Melayu kini boleh disentuh oleh ramai orang.

"Ada banyak retorik (menyerang) agenda Melayu dan Islam, dan ia satu kebimbangan yang real di kalangan masyarakat Melayu," katanya lagi.


Baca: Penolakan Icerd: Malaysia di mata dunia


Khairy sebelum ini pernah membangkitkan soal kedudukan Melayu dan Islam jika kerajaan meratifikasi Icerd ketika perbahasan Parlimen pada 15 Oktober lalu.

Menurut The Malay Mail, Khairy membangkitkan Artikel 2 Icerd berkenaan penamatan semua bentuk diskriminasi kaum dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak Istimewa Melayu dan Bumiputera.

"Adakah kita sedar implikasi dasar ini? Kita tidak ratifikasi (Icerd) kerana ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak istimewa kepada satu kaum. Impak (ratifikasi) konvensyen antarabangsa ini adalah kita perlu kuatkuasakan sebagai undang-undang.

"Adakah ini bermakna Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan akan ada tempoh masa, kerana konvensyen jelas menyatakan sebarang bentuk diskriminasi positif terhadap minoriti perlu ada tempoh masa?

"Bagaimanapun ini tidak bermakna saya setuju, atau pun tidak setuju, dengannya," kata Khairy seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS