Demi mencari bukti salah guna kuasa dan rasuah di kalangan anggota penguatkuasa untuk melindungi kegiatan pelacuran, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka pusat urut palsu selama empat bulan.
Menurut laporan Mingguan Malaysia hari ini, SPRM mengambil langkah itu selepas mendapati tiada sesiapa yang berani tampil mengemukakan bukti tentang masalah itu walau ia memang berlaku.
“Untuk membuktikan kesalahan itu memang kita buka satu, dua premis rumah urut.
"Terus terang saya katakan dalam operasi penyamaran dan operasi sulit ini, mungkin ada pihak yang terlepas, tetapi suatu masa nanti kita akan tangkap juga,” kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki seperti dipetik.
Beliau berkata SPRM mengerahkan sejumlah kakitangan terlatih untuk menjayakan operasi itu.
Pada 18 Mac lalu, SPRM memaklumkan telah menahan 16 individu, termasuk pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pegawai bomba dan penyelamat dan ketua sebuah balai polis, yang disyaki menerima sogokan daripada rumah urut.
Menurut laporan yang memetik sumber itu lagi, suspek menerima paling kurang RM1,000 sebulan sebagai bayaran perlindungan kepada rumah urut sekitar Lembah Klang.
Mengulas lanjut, Azam mengakui ramai yang takut memberi maklumat atau menjadi saksi kerana bimbang risiko yang mungkin dihadapi diri, keluarga dan kerjaya.
Namun, katanya lagi, mereka boleh menjadi pemberi maklumat yang dilindungi Akta Pemberi Maklumat 2010 dan Akta SPRM 2009.
