Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Jika lama dahulu, fanzine atau ringkasnya zine sinonim dengan risalah yang ditulis tangan sebelum dibuat salinan menggunakan mesin fotostat, dijilid dengan pengokot sebelum dijual kepada pengikut tertentu.

Risalahnya selalu nipis, dan jauh lebih murah berbanding buku.

Kini, penghasilan zine sudah berkembang - ada yang dicetak dan dijilid ala buku, dan ada yang diterbitkan melalui rumah penerbitan - sehingga garis pembeza antara zine dan buku itu sendiri kian kabur.

Jika pada 1980-an dahulu, zine yang dihasilkan lebih menjurus hebahan tentang sub-budaya punk, kini ia sudah berkembang ke pelbagai bidang, termasuk bidang penulisan dan lukisan.

Dalam keadaan semakin ramai penerbit buku gulung tikar akibat kelembapan jualan buku - lalu menyebabkan peluang menerbitkan buku semakin menipis - zine dilihat sebagai penyambung hayat buat seniman dan juga penulis, khususnya bagi penghasil karya sastera.

Bagi seorang penghasil zine puisi, Nurul Aisyah Mohd Rais atau lebih dikenali sebagai Aisyah Rais, perkembangan itu dilihat mula berlaku sejak sepuluh tahun lalu, apabila zine sastera mula muncul.

Rasa dekat

“Masa saya mula-mula buat zine sepuluh tahun lalu, memang kurang anak muda keluarkan zine. Ada, tapi tak semeriah sekarang, padahal zine ini bukan perkara baru di Malaysia - sejak 80-an sudah ada di sini tetapi lebih kepada perkembangan muzik underground.

“Akhir 2000, sekitar 2006-2009, saya perasan makin rancak orang buat zine sastera. Ada yang buat sendiri secara solo macam Petak Daud, ada yang buat dengan syarikat penerbitan kecil, ada yang buat dengan sekumpulan kawan,” katanya kepada Malaysiakini.

Aisyah Rais

Aisyah bukan orang baru dalam zine berkonsepkan sastera, malah beliau telah memulakan aktiviti penghasilan zine puisi sejak 2008 lagi. Bermula dengan zine berjudul Kertas-kertas Kotor (2008), sehingga kini Aisyah telah menghasilkan sebanyak 16 zine - ada yang berkonsepkan puisi, esei, fotografi dan juga puisi padam (blackout poetry).

Selain zine, Aisyah turut menyumbang dalam tulisan zine tempatan lain seperti Fragranfrantik dan ManuSkrip, dan turut terlibat dalam beberapa penghasilan antologi puisi dan buku travelog terbitan beberapa penerbit.

“Zine ni bila kita buat sendiri tanpa campur tangan orang lain, rasa puas dia tu yang best. Rasa sangat dekat dengan diri, tak disunting oleh orang lain, apa nak cakap kita boleh cakap tapi harus siap sedia dengan maklum balas pembaca,” kata Aisyah.

Zine yang dihasilkan Emila Yusof.

Zine berasal daripada perkataan fanzine, yang merupakan singkatan kepada istilah fan magazine.

Pada awal kemunculannya sekitar 1930, fanzine yang diterbitkan lebih berunsur fiksyen ilmiah seperti The Comet, sebelum berkembang kepada fanzine perbincangan komik - antara yang pertama ialah The Comic Collector’s News sekitar akhir 1930-an.

Daripada situ, konsep fanzine mula merebak ke bidang-bidang lain seperti filem seram dan kemudiannya ke cabang aliran muzik.

Penghasilan paling awal risalah berbentuk zine barangkali telah tercipta terlalu lama dahulu di serata dunia, tetapi pastilah ia tidak dikenali sebagai zine.

Platform baru

Seperti juga di Malaysia, sebelum zine punk rock berjudul Aedes yang popular dengan jolokan zine pertama di Malaysia (edisi petama diterbitkan pada 1987), beberapa orang lama dalam bidang penulisan mendakwa telah menghasilkan ‘risalah sendiri’ dengan kandungan cerpen, puisi, pantun dan sebagainya sejak tahun 70-an lagi (seperti yang diceritakan kepada Aisyah Rais dalam satu forum Dewan Bahasa dan Pustaka).

Sudah tentulah pada masa itu mereka tidak menamakannya zine, tetapi 'risalah', 'buku mini', dan sebagainya. Ia bukan benda baru.

Tetapi, zine di Malaysia yang dipelopori pengikut genre punk rock sekitar 80-an oleh nama-nama seperti Wan Hamidi Hamid dan Joe Kidd, mempunyai sesuatu yang tidak ada pada ‘risalah’ atau ‘buku mini’ biasa, iaitu sokongan pengikut atau kelompok yang berkongsi minat yang sama- mungkin inilah yang membuatkan zine tersendiri dan unik.

Dan mungkin kerana ciri unik tersebut bersama beberapa ciri yang sinonim dengannya -nipis, murah, dan dihasilkan dalam kuantiti terhad- zine semakin mendapat perhatian rumah penerbitan.

Antara penerbit yang dilihat aktif menerbitkan zine ialah Legasi Buku Oakheart.

Namun, bagi sebuah rumah penerbitan Kata-Pilar, alasan menghasilkan zine agak luar daripada kebiasaan- agar puisi yang pernah tersiar di laman Tukang Puisi mendapat ruang untuk dinilai di mana untuk hadiah sastera.

Menurut pengasasnya, Dr Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy atau lebih dikenali dengan nama Fahd Razy, zine Tukang Puisi mengumpulkan kembali puisi yang disiarkan secara berkala di laman Facebook Tukang Puisi, yang diwujudkan sebagai alternatif kepada media eceran yang semakin susut di Malaysia.

Zine Tukang Puisi mengumpulkan kembali puisi yang disiarkan secara berkala di laman Facebook Tukang Puisi.

Memanfaatkan platform media sosial yang semakin menjadi pilihan pengkarya berkongsi hasil penulisan, Fahd Razy bagaimanapun mengakui kekurangan utama platform tersebut ialah tiada editor atau penilai yang menyaring kualiti karya yang diterbitkan.

“Jadi Tukang Puisi menggabungkan dua dapatan ini – menyediakan satu platform penyiaran karya melalui media sosial yang mudah diakses dan meletakkan fungsi editorial sebagai penilai,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kerana berasakan puisi yang tersiar di Tukang Puisi sebenarnya menjanjikan, beliau mengambil inisiatif menerbitkan zine Tukang Puisi bagi mendokumentasi puisi-puisi tersebut dalam bentuk penerbitan yang lebih konvensional dan standard.

“Majoriti majalah atau akhbar bercetak tidak mahu menyiarkan karya yang diterbitkan di media sosial, apatah lagi dalam platform yang bersifat ‘public’ seperti Tukang Puisi.

“Lalu penerbitan naskhah ini membolehkan karya mereka dizahirkan secara fizikal sekaligus menikmati kelebihan karya eceran di media fizikal lain yang termasuklah boleh menyertai penilaian untuk hadiah sastera peringkat negeri dan nasional,” katanya lagi.

Peminat kurang mampu

Bagi mencapai tujuan itu, zine Tukang Puisi terpaksa akur kepada keperluan sebuah buku yang diterima untuk penilaian, iaitu mempunyai nombor pendaftaran buku antarabangsanya sendiri (ISBN).

Mengakui zine mampu merancakkan dunia penulisan dan menjadi ‘penyambung hayat’ buat pengkarya, Fahd Razy bagaimanapun melahirkan kebimbangan trend zine akan lambat-laun menyebabkan lambakan karya yang mentah di pasaran.

“Ia bagus sebagai training ground tetapi akhirnya kita masih memerlukan penerbit dan buku- atau lebih tepat, fungsi editor dan penilai- sebagai satu penanda aras untuk kualiti sastera Malaysia,” tambahnya lagi.

Selain bidang sastera, zine turut menjadi saluran lebih murah untuk pelukis menjual karya mereka kepada peminat yang kurang berkemampuan.

Perkara itu dikongsikan oleh penghasil zine berkongsepkan lukisan, Emila Yusof yang mula menghasilkan zine berkonsepkan lukisan sejak hujung tahun lepas melalui KABO Zine Fest anjuran Kedai Buku Legasi Oakheart.

Emila Yusof

Beliau menghasilkan zine yang mengandungi karya lukisan beserta puisi dan fiksyen mikro, selain mini-zine seni berformat lipatan kertas yang tidak mengandungi teks (atau minimum teks).

Kebanyakan zine yang dihasilkannya dalam saiz kecil iaitu A6, dan melibatkan pelbagai cara termasuk cetakan fotokopi, lithograf, woodprint, linoprint, cutout dan pelbagai lagi.

“Zine ialah budaya yang sihat untuk sebarkan karya seni. Kadangkala orang tak mampu beli lukisan bersaiz besar, jadi format zine ini adalah format yang mudah dan murah untuk pencinta dan pengumpul karya seni.

“Ini cara saya membolehkan karya saya murah untuk dibeli. Ramai yang komplen tak mampu beli lukisan canvas saya,” katanya.

Antara zine yang dihasilkan iaah Nyalaan (lukisan dan puisi), Dreams & Hopes (lukisan dan fiksyen mikro), Pop-up Women, Illustrated Quotes, Women, dan Inspiration yang tidak dijual, sebaliknya ditukar dengan sesiapa yang berminat (semuanya merupakan mini-zine karya seni berformat lipatan kertas).

Bagi Emila yang merupakan pelukis sepenuh masa, selain kerana minat, zine merupakan cara baginya mencari ‘duit kopi’.

Malah, katanya, beliau kadang-kadang membawa cetakan zine dan hasil tangannya yang lain seperti poskad dan penanda buku ke pesta buku luar negara yang disertainya.

“Saya tak kumpul pembaca tapi saya mahu orang membaca dan menghargai karya seni. Kalau tak ikuti (perkembangan) saya pun masih boleh membeli zine saya.

“Biarpun karya mudah, janji boleh menyumbang ke arah masyarakat membaca dan mencintai seni,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS