Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sindir menyindir KJ, Syed Saddiq, Azmin, Nik Nazmi
Diterbitkan:  Mar 25, 2019 1:41 PM
Dikemaskini: Mar 26, 2019 12:30 PM

Kenyataan Nurul Izzah Anwar tentang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam wawancaranya bersama media Singapura bukan saja mengundang kritikan terhadap ahli Permatang Pauh itu, tapi juga membuatkan ahli politik lain menyindir antara satu sama lain.

Melalui ciapan Twitter, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman menujukan sindirannya kepada bekas penyandang jawatannya, yang juga bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Syed Saddiq mengirim ciapan itu selepas Khairy menyindir Mohamed Azmin Ali dengan berkata menteri hal ehwal ekonomi itu tidak mempunyai visi dan arah dalam menyelesaikan masalah ekonomi negara.

"Ketika dia (Azmin) jadi menteri besar Selangor, BN pun katakan hal sama - 'tak ada arah, visi, guna pintu belakang (jadi menteri besar)'.

"Tapi akhirnya dia buktikan dia yang terbaik. Skim Peduli Sihat, Bantuan Ibu Tunggal (KiSS), Skim Tawas, pinjaman mikro kredit tanpa faedah Hijrah.

"Anda (Khairy) masih sibuk buat klip video untuk Najib ketika itu," katanya.

 

Ciapan Khairy tentang Azmin itu adalah sebagai membalas ciapan ahli parlimen PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang mempersoalkan istilah 'cengeng' yang digunakan untuk merujuk kepada 'wanita yang menyatakan pendiriannya'.

Meski tidak menyebutkan secara spesifik, Nik Nazmi dipercayai merujuk kepada kenyataan Azmin yang mengkritik Nurul Izzah.

"Apabila seorang wanita membuat kenyataan, gelar dia cengeng? Tak patut, sangat tak patut," kata Nik Nazmi yang merupakan ahli parlimen Setiawangsa.

 Azmin sebelum itu membuat ciapan dengan mengatakan bahawa Malaysia memerlukan orang yang mahu berjuang sehingga saat akhir dan bukannya orang yang banyak merungut.

"Negara ini memerlukan mereka yang mahu bekerja dan bersedia untuk menghadapi semuanya, bukan orang cengeng. Apa pun cabaran, kita perlu atasi. Jika tak mampu berdepan cabaran, keluar dari dapur," katanya.

Azmin dipercayai merujuk kenyataan Nurul Izzah dalam wawancara Straits Times yang antara lain menyebut bahawa Dr Mahathir sebagai "bekas diktator yang banyak membuat kerosakan".

 Nurul Izzah berkata demikian ketika ditanya gambaran tentang cabaran yang dihadapinya kebelakangan ini.

Antara lain, bekas naib presiden PKR itu mengakui cabaran bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang satu ketika dulu merupakan seteru ayahnya.

"Bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan, bukan saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Dalam wawancara itu, Nurul Izzah turut menyatakan kekecewaannya terhadap beberapa perkara termasuklah penyertaan bekas wakil rakyat Umno dalam parti komponen PH.

Lihat Komen
ADS