Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengarah AIAC berdepan 3 tuduhan pecah amanah

Bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Dr N Sundra Rajoo mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan pertama, Sundra dalam kapasitinya sebagai pengarah AIAC yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana AIAC, dituduh melakukan pecah amanah jenayah berjumlah RM89,700 antara 8 Diseber 2016 dan 30 Jun 2017.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan pecah amanah berjumlah RM621,172.5 antara 1 Mac 2017 dan 29 Disember 2017, manakala pertuduhan ketiga melibatkan jumlah RM300,495 antara 24 Januari 2018 dan 17 Ogos 2018.

Jumlah ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah itu adalah RM1,011,367.50.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin, selepas Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar meminta ikat jamin pada RM 200,000 manakala peguam Sundra, Baljit Singh Sidhu meminta jumlah dikurangkan kepada RM50,000.

Azura menetapkan 19 April sebagai tarikh serahan dokumen dan 3 Mei sebagai tarikh pengurusan kes.

Pasport Sundra juga hendaklah diserahkan kepada mahkamah pada 2 April memandangkan dia mempunyai urusan yang telah dijadual lebih awal dari 28 Mac hingga 1 April.

Sundra dituduh bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, Baljit turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak peguam bela semalam menerima surat yang menyatakan permohonan kerajaan Malaysia kepada Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika (AALCO) bagi membatalkan (waive) imuniti Sundra telah ditolak oleh pertubuhan antarabangsa tersebut.

Sebelum ini, Sundra memfailkan semakan kehakiman bagi mendapatkan imuniti daripada sebarang tangkapan atau pendakwaan mahkamah atas tindakannya sepanjang menjawat jawatan itu.

Katanya, beliau berhak menikmati imuniti tersebut seperti dinikmati oleh seseorang duta atau pesuruhjaya tinggi.

Beliau menamakan Menteri Luar Negeri, Peguam Negara, SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam semakan kehakiman tersebut.

Awal hari ini, ketika semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuasa Rayuan-rayuan Khas, hakim Nordin Hassan memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Peguam Negara daripada mendakwa mana-mana pihak bawah tuduhan jenayah.

Dalam semakan kehakiman tersebut, Sundra diwakili peguam K Shanmuga manakala Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy mewakili responden.

Oleh itu, hujahan imuniti Sundra akan diteruskan di Mahkamah Sesyen, tetapi tarikhnya belum ditetapkan.

Pada November lalu, Sundra meletakkan jawatan susulan surat tidak bernama yang mengandungi beberapa tuduhan terhadapnya dihantar ke beberapa pihak termasuklah SPRM, Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Surat tersebut menuduhnya menyalah guna wang kerajaan bagi mempengaruhi menteri untuk melanjutkan kontrak beliau selaku pengarah AIAC.

Berikutan itu, SPRM melakukan serbuan ke pejabat Sundra Rajoo dan menyoal beberapa kakitangannya.

Pada 20 November tahun lalu juga, Mahkamah Majistret Putrajaya menolak permohonan SPRM untuk meremannya selama tujuh hari.

Peguam AIAC memberitahu, SPRM tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan Sundra Rajoo, seorang pegawai kanan yang dilindungi bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992.

Lihat Komen
ADS