Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Perbahasan di Dewan Rakyat berjalan rancak apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa berucap hari ini cuba memerangkap bekas perdana menteri mengenai penjualan Bangunan Malaysia di Hong Kong.

Dipercayai ini berkaitan dengan hantaran media Najib di media sosial mengenai cubaan Putrajaya menjual Malaysia Building di Wanchai, Hong Kong.

Najib turut memberitahu media semalam beliau prihatin terhadap perkara itu.

Sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih dan titah diraja hari ini, Lim mendakwa Najib cuba menjual bangunan pencakar langit setinggi 28 tingkat itu pada tempoh separuh pertama tahun 2018.

"Saya maklumkan pada (MP) Pekan (Najib Razak) keputusan dibuat untuk menjual bangunan konsulat di Hong Kong adalah dibuat bawah Pekan sendiri.

"Keputusan dibuat sendiri oleh beliau pada 9 Mei (2018)... tetapi keputusan itu menetapkan harga pada RM1.1 bilion secara rundingan terus," kata Lim kepada Dewan Rakyat.

Bodoh dan tender terbuka

Pada ketika itu, masih terdapat kekecohan di Dewan Rakyat kerana perbalahan terdahulu dengan MP berbalas-balas jeritan mengenai skandal 1MDB dan hutang negara, yang terpapar jelas semasa Lim berucap

Lim bukan sahaja membenarkan anggota parlimen mencelah ucapannya tetapi menawarkan Najib (BN-Pekan) untuk menjelaskan mengapa pentadbirannya cuba menjual Malaysia Building.

"Jangan cuba memutar fakta ini kerana ini adalah keputusan anda sendiri. PH membatalkan penjualan ini, yang diputuskan melalui rundingan terus dan (PH) akan melakukannya (penjualan semula) melalui tender terbuka.

"Saya sanggup memberikan Pekan peluang untuk menjawab," kata Lim.

Bagaimanapun, Najib membidas kembali: "Adakah projek terowong bawah tanah Pulau Pinang dibuat melalui tender terbuka? Jelaskan mengenai terowong terlebih dahulu."

Lim cuba menggesa Najib sekali lagi menjelaskan mengenai bangunan di Hong Kong itu tetapi bekas menteri kewangan terus bercakap tentang Pulau Pinang.

Pada saat ini, MP pembangkang ikut bersorak: "Terowong! Terowong!"

Apabila Timbalan Speaker Nga Kor Ming dapat meredakan kekecohan, Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) mencelah ucapan Lim dengan soalan yang dimulakan secara tidak sengaja.

"Adakah menteri kewangan setuju mereka yang mendakwa bahawa (projek) terowong dilakukan tanpa tender terbuka adalah bodoh?" Soal Chow yang biasanya dilihat lemah lembut.

Ini sekali lagi membawa kepada satu lagi pusingan MP pembangkang mendesak Chow menarik balik kenyataannya.

Nga memutuskan permohonan maaf tidak diperlukan memandangkan Chow tidak merujuk sesiapa secara khusus.

Ketika keadaan kembali tenang, Chow bertanya sekiranya beliau bersetuju dengan soalannya tadi yang hanya dibalas Lim dengan senyuman sebelum meneruskan ucapannya.

Kemudian, Shahidan Kassim (BN-Arau) berkata sesiapa yang tidak mengendalikan sidang Dewan Rakyat dengan adil adalah "bodoh."

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan sesi penggulungan perbahasan titah diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini kecoh setelah berlaku 'pertembungan' di antara Menterinya, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas menteri kewangan.

Ia bermula apabila Najib yang juga bekas perdana menteri, bangun meminta pencerahan Lim berhubung jumlah hutang kerajaan yang meningkat sebanyak RM87.1 bilion kepada RM773.1 bilion pada masa ini berbanding RM686 bilion pada penghujung 2017 mengikut data rasmi Bank Negara Malaysia.

Lim berkata jumlah hutang itu antaranya disumbang oleh hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Memang licik pentadbiran lama kerana kita tahu 1MDB hutang begitu besar tidak termasuk dalam angka rasmi hutang kerajaan kerana semua dibuat secara ‘off balance sheet’ (pembiayaan luar kunci kira-kira) ...ia terpaksa juga dibayar oleh pihak kerajaan sungguhpun ia tidak dipinjam secara langsung oleh kerajaan Malaysia dan bila kita sebagai penjamin, kita terpaksa membuat bayaran sungguhpun kita bukan peminjam utama," katanya.

Keadaan bertambah tegang apabila Lim membangkitkan isu penjualan hartanah konsulat Malaysia di Hong Kong.

"Baru-baru ini, saya baca dalam surat khabar dan Yang Berhormat (Najib) menyatakan mengapa nak jual hartanah yang dimiliki konsulat Malaysia di Hong Kong.

"Beliau membantah penjualan konsulat di Hong Kong, saya memaklumkan kepada Yang Berhormat Pekan (Najib), keputusan jual (hartanah) konsulat di Hong Kong itu dibuat oleh beliau sendiri semasa pentadbiran Barisan Nasional," katanya menambah ia turut dilakukan secara ‘direct negotiation’ (rundingan terus).

Najib kemudian bangun bertanyakan sama ada projek terowong di Pulau Pinang dibuat secara tender terbuka atau tidak yang mencetuskan laungan 'terowong' oleh blok pembangkang.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan terpaksa ‘menyelamatkan’ projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia yang kehilangan dana ekoran penyelewengan dan skandal 1MDB.

Beliau berkata projek TRX berpotensi tinggi dalam mengorak langkah masa depan negara, namun skandal berkenaan menyebabkan pelabur asing menjauhkan diri daripada projek tersebut.

"Selepas melakukan proses pemulihan di bawah kerajaan Pakatan Harapa, kami berjaya memulihkan keyakinan pelabur asing terhadap TRX dan Malaysia. Kini TRX adalah sebuah projek bebas rasuah dan mendapat kepercayaan pelabur dalam serta luar negara," katanya.

Lihat Komen
ADS