Malaysiakini
BERITA

PRU Thailand: Kepincangan ketara kiraan undi - Pemantau p'raya

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mac 2019, 2:33 tengahari

GLOBAL | Sebuah kumpulan pemantau pilihan raya berkata proses pengiraan undi pilihan raya umum (PRU) pertama Thailand sejak rampasan kuasa tentera pada 2014 mempunyai kelemahan yang sangat ketara.

Dalam laporan interimnya mengenai PRU 2019 Thailand, Asian Network for Free Elections (Anfrel), berkata integriti proses pengiraan di kebanyakan pusat mengundi menimbulkan kesangsian berhubung ketelusan dari segi operasi penjadualan dan penjumlahan memandangkan tiada akses pemerhati, ejen parti atau media.

“Ada kepincangan ketara dari segi penjadualan dan penjumlahan kertas undi yang membawa kepada keputusan awal tidak tepat pada malam pilihan raya. Ini memburukkan lagi tanggapan terhadap integriti pilihan raya umum itu.

“Badan pengurusan pilihan raya harus memastikan keputusan pilihan raya bukan sahaja tepat tetapi juga hasil daripada proses boleh dipercayai yang diterima umum,” demikian menurut Anfrel yang turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand mengeluarkan keputusan menyeluruh pilihan raya secepat mungkin.

SPR Thailand hanya mengumumkan 93 peratus daripada keseluruhan undi yang dikira pada malam Ahad dan keputusan tidak rasmi bagi 350 kerusi kawasan Dewan Perwakilan diumumkan pada Isnin.

'Layanan istimewa protentera'

Pheu Thai, parti yang mempunyai kaitan dengan perdana menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra, mendahului dengan 137 kerusi diikuti parti pro-tentera Palang Pracharat dengan 97 kerusi.

Bagaimanapun, keputusan rasmi termasuk 150 kerusi untuk senarai parti hanya akan diketahui pada 9 Mei.

SPR Thailand dijangka mengumumkan jumlah undi bagi setiap kawasan pada Jumaat untuk menentukan kerusi senarai parti bagi setiap parti.

Anfrel berkata kegagalan SPR Thailand semasa pengumuman keputusan awal pada malam Ahad menguatkan wasangka masyarakat tentang kredibiliti hasil pilihan raya dan ini menuntut langkah-langkah mitigasi suruhanjaya tersebut.

Dalam laporannya, Anfrel berkata kempen pilihan raya juga jelas menyebelahi tentera dan calon-calon yang disokongnya.

“Beberapa pengundi dan pihak berkepentingan yang ditemu bual berpandangan proses kempen ‘tidak adil’. 

"Parti-parti pro-tentera didakwa diberi kelebihan dan layanan istimewa oleh kerajaan serta badan pilihan raya,” katanya.

Bagaimanapun menurut badan itu, proses pengundian pada Ahad berlangsung dengan “aman, teratur dan amnya diuruskan dengan baik”.

Sementara itu, Setiausaha Agung Anfrel Rohana Nishanta Hettiarachchie berkata PRU Thailand tidak memenuhi semua piawaian pilihan raya yang bebas dan adil memandangkan ia dilaksanakan atas platform yang tidak demokratik.

“Tiada siapa yang tahu alasan kelewatan dalam mengumumkan keputusan pilihan raya (pada malam Ahad). Kelewatan itu masih dalam kerangka kerja undang-undang namun maklumat yang dikeluarkan tepat pada masanya dan secara telus akan membantu membina kepercayaan,” katanya.

Misi Pemantauan Pilihan Raya Antarabangsa Anfrel (IEOM) ke PRU 2019 Thailand disertai 34 pemerhati pilihan raya antarabanga termasuk dua penganalisis yang digerakkan selama 45 hari, satu pasukan dengan lapan pemerhati selama 14 hari dan pasukan kedua dengan 24 pemerhati dihantar untuk 10 hari.

Laporan interim itu mengandungi penilaian berhubung aktiviti sebelum pilihan raya serta operasi pada hari pengundian bermula daripada pembukaan pusat mengundi kepada pengiraan, penjumlahan dan pengumuman keputusan.

Anfrel akan mengeluarkan laporan misi yang komprehensif sebulan selepas keputusan muktamad pilihan raya diumumkan.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.