Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis tak cadang panggil ‘Cik Miera’
Diterbitkan:  Mar 27, 2019 12:42 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Polis tidak bercadang untuk memanggil jururawat di Institut Jantung Negara (IJN) yang dikenali ‘Cik Miera’ untuk direkodkan keterangan bagi membantu inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurut Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin, ini kerana kes tersebut sudah berada di mahkamah dan pihaknya tidak boleh campur tangan melainkan hanya akan mengambil langkah susulan jika pihak inkues memohon supaya siasatan tambahan dibuat.

“Kes ini merupakan kes mahkamah, kita tak boleh membuat keputusan, biarlah pihak mahkamah tentukan. Polis tidak boleh campur tangan dalam kes mahkamah.

“Kita tidak hendak nanti, bila kita ambil tindakan, ia bercanggah dengan apa yang berlaku dalam mahkamah.

“Jadi, kita biarkan proses perundangan itu selesai dulu,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia, hari ini.

Individu yang dikenali sebagai ‘Cik Miera’ pada minggu lalu menerusi laman Facebooknya mendakwa anggota bomba itu sebenarnya dipukul, sekali gus menafikan keterangan pakar forensik dalam inkues yang menyatakan kecederaan dialaminya tidak menunjukkan seperti arwah dipukul.

Bagaimanapun, jururawat itu kemudiannya telah menarik balik kenyataannya selain turut memadamkan hantaran yang dibuat di Facebooknya selepas perkara tersebut menjadi viral di media sosial.

Muhammad Adib, 24, anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Inkues bagi menentukan punca kematiannnya sedang berlangsung di Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS