Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan agihan pengagihan sebanyak enam sen seunit untuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dan 5.5 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2019.
Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata ASB2 akan mengagihkan pembayaran sebanyak RM610.7 juta kepada 404,706 pemegang unit yang memiliki sejumlah 10.4 bilion unit manakala ASM akan mengagihkan jumlah pembayaran sebanyak RM1.1 bilion kepada 541,758 pemegang unit yang memiliki 19.5 bilion unit.
“Sehingga 28 Feb tahun ini, ASB2 mencatatkan pendapatan bersih yang direalisasikan sebanyak RM500 juta, manakala ASM merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi berjumlah RM800 juta," katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan bagi dana-dana tersebut di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau juga berkata tiga dana dengan variasi harga iaitu ASN Ekuiti 3, ASN Imbang 2 dan ASN Sara 1, telah mengisytiharkan agihan pendapatan, masing-masing sebanyak 4.10 sen seunit, 4.20 sen seunit dan 5.00 sen seunit.
Jumlah agihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana, yang berjumlah RM236.1 juta, akan memberi manfaat kepada 220,188 pemegang unit.
Akan ada suatu penggantungan urus niaga bersifat sementara bagi kesemua lima dana di semua cawangan sehingga Mac 2019 untuk memudahkan pengiraan agihan pendapatan dan transaksi akan disambung semula pada 1 April depan.
Sementara itu, menurut Zeti lagi, strategi pelaburan masa depan PNB tertumpu ke arah kepelbagaian dan ia akan meninjau peluang dalam ekonomi yang maju dan sedang pesat membangun, secara berperingkat.
"Kami tidak akan tergesa-gesa kerana kami perlu membina kepakaran kami dalam memantau pasaran ini, serta penglibatan kami dengan lain-lain syarikat pelaburan.
"PNB akan sentiasa melaksanakan fungsi kami sebagai pelabur bertanggungjawab dan kami tidak akan terbabit kepada apa-apa keadaan yang boleh mengganggu pasaran domestik atau kepada mana-mana pelaburan strategik kami dalam syarikat-syarikat," katanya lagi.
Persekitaran ekonomi yang mencabar pada 2018 dengan pertumbuhan sederhana termasuk ketidaktentuan pasaran kewangan dalam ekonomi domestik serta global dan persekitaran kewangan telah menjejaskan prestasi banyak perbadanan di Malaysia termasuk PNB.
Bagaimanapun. jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) PNB telah menokok sebanyak 6.9 peratus kepada RM298.5 bilion daripada RM279.2 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Rahman Ahmad ketika mengulas tentang prospek pasaran saham tempatan menyatakan keyakinan bahawa ia akhirnya akan mencerminkan kekukuhan ekonomi Malaysia yang dijangka berkembang antara 4.3 peratus dan 4.9 peratus pada tahun ini.
"Pada dasarnya, kami percaya ekonomi adalah mantap dan kami optimis dalam jangka sederhana," katanya.
- Bernama
