Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
MITI: Siasatan terperinci pastikan pemegang AP patuhi syarat
Diterbitkan:  Mar 29, 2019 9:45 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Kerajaan akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi memastikan syarikat yang menerima permit import (AP) terbuka baru yang dilantik memenuhi syarat-syarat kelayakan memohon di bawah dasar AP baru.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming, berkata ia membabitkan 36 syarikat AP terbuka baru.

"Beberapa aduan dan laporan telah diterima oleh MITI bahawa terdapat syarikat-syaraikat baru ini yang tidak mematuhi syarat-syarat tersebut seperti tidak mempunyai keupayaan kewangan dan tiada pengalaman dalam penjualan dan pengedaran kenderaaan.

"Di samping itu, terdapat juga aduan bahawa syarikat-syarikat ini telah mempunyai perancangan untuk menjual AP yang diperuntukan kepada pihak ketiga.

"Susulan daripada aduan-aduan yang diterima, MITI akan melaksanakan penyemakan maklumat terkini daripada syarikat-syarikat ini," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Syarikat tak aktif

Ong juga mengulangi kenyataan Menteri MITI, Darell Leiking bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat AP Terbuka yang tidak mematuhi syarat-syarat pematuhan sebagai syarikat AP Terbuka termasuk mereka yang didapati menjual AP kepada pihak ketiga.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan yang sebuah syarikat tidak aktif tersenarai antara 164 syarikat yang menerima AP untuk mengimport kereta terpakai pada Januari lalu.

Hal ini meskipun kerajaan telah memberi jaminan bahawa semua penerima AP akan disaring terlebih dahulu oleh juruaudit bebas, bagi memastikan mereka mematuhi kriteria yang ditetapkan.

Pada era pentadbiran BN, kerajaan merancang untuk memansuhkan sistem AP pada tahun 2015, tetapi tertangguh atas tekanan daripada pemegang taruh.

Permohonan tersebut dibuka semula pada 2016, dan kerajaan mengenakan kriteria yang ketat untuk menghentikan penyalahgunaannya. Satu senarai pemohon disiarkan di dalam laman web MITI pada Januari 2019.

Bagi melayakkan menerima AP, syarikat mestilah merupakan entiti Sendirian Berhad (Sdn Bhd) dengan pemilikan 100 peratus milik penuh bumiputera.

Semak enam perkara

Mereka juga perlu sekurang-kurangnya mempunyai dua tahun pengalaman dalam perniagaan automobil dan mestilah sudah beroperasi, dengan pejabat dan bilik pameran yang sesuai.

Selain itu, mereka mesti menunjukkan keupayaan pengurusan dan kewangan untuk mengimport, mengedar dan menjual kereta yang dibawa masuk menggunakan AP itu dan mematuhi beberapa lagi kriteria lain.

Sementara itu, Ong berkata, enam perkara akan disemak pihaknya bagi memastikan syarikat yang menerima AP mematahui kriteria ditetapkan.

Antaranya maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengenai penyata kewangan dan slip penisytiharan dan bayaran cukai.

"Termasuk Key Financial Information dengan penyata kewangan bagi tahun 2015 hingga 2018.

Slip pengisytiharan dan bayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun 2016 hingga 2018 serta Penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi Januari hingga Mac 2019 dan Lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi tahun 2017 hingga 2019.

"Semua dokumen yang dinyatakan di atas perlu dikemukakan kepada MITI dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh surat MITI dikeluarkan," jelasnya

Kegagalan syarikat untuk memberi kerjasama dan mengemukakan dokumen tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, kata Ong boleh menjejaskan sebarang permohonan AP oleh syarikat-syarikat ini di masa hadapan.

"Siasatan juga akan dilaksanakan melalui audit berperingkat ke atas syarikat sedia ada bagi memastikan syarat-syarat sebagai syarikat AP Terbuka di bawah dasar baharu telah dipatuhi," katanya.

Jelasnya lagi tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat AP terbuka yang tidak mematuhi syarat-syarat pematuhan sebagai syarikat AP terbuka termasuk mereka yang didapati menjual AP kepada pihak ketiga.

Lihat Komen
ADS