"Jutawan' Lebanon, Elie Youssef Najem berkata beliau tidak dapat menyalurkan wang sebanyak RM1.03 bilion yang dijanjikannya untuk disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) selagi dia tidak dibenarkan membuka akaun bank di negara ini.

Katanya, ini kerana beliau bukanlah seorang 'Santa Claus' yang boleh memberi wang kepada orang dengan begitu mudah.

Berikutan itu, katanya, beliau tidak akan menemui pihak Makna kerana menegaskan, pada masa ini tidak ada keperluan untuknya berbuat demikian.

Menurutnya, beliau juga tidak dihubungi oleh pihak Makna berhubung wang sumbangan tersebut.

"Namun saya berharap semua perancangan berjalan lancar. Saya berdoa kepada Allah supaya wang tersebut akan diperolehi.

"Saya berharap pihak-pihak yang telah berjanji untuk memberikan sumbangan, menunaikan janji mereka," katanya dalam sidang media bersama isterinya Farinie Mohd Farid di rumahnya di ibu negara malam tadi.Bagaimanapun, kata Elie, jika akaun bank tidak boleh dibuka bagaimana wang dari luar negara itu hendak dibawa masuk ke Malaysia.

Pusat rawatan kanser

Sebelum ini beliau yang mendakwa sebagai orang ketiga terkaya di dunia itu berjanji untuk menderma sebanyak RM1.03 bilion kepada Makna untuk membina pusat rawatan penyakit kanser di negara ini.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media bersama Presiden Makna, Datuk Mohd Farid Ariffin di Kuala Lumpur bulan lalu.

Dr Elie mendakwa, beliau lambat mendapat wang tersebut kerana kegagalan beliau untuk membuka akaun bank di negara ini.

"Saya sudah pergi merata bank untuk membuka akaun tetapi tidak berjaya dengan alasan pasport saya ditahan oleh polis.

"Saya telah menemui pegawai-pegawai tinggi Bank Negara tetapi mereka tidak dapat membantu," katanya lagi.

Ellie berkata, beliau terpaksa menggunakan wangnya sendiri untuk perbelanjaan keluarganya di sini.

Katanya, beliau juga akan menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meminta beliau membantu mengatasi masalah tersebut.

Katanya, beliau tidak berniat meninggalkan negara ini kerana sudah menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya.

Beliau berkata, beliau sudah 11 tahun tinggal di negara ini dan isterinya juga rakyat Malaysia.