Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sharifah Amani enggan hadir FFM30, prihatin nasib anak seni
Diterbitkan:  Mar 30, 2019 5:14 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Sharifah Amani membuat keputusan enggan menghadirkan diri ke Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang dijadual berlangsung malam ini.

Pelakon itu berkata dia mengambil tindakan berkenaan demi keprihatinannya terhadap nasib ramai penggiat seni tanah air yang sedang berhadapan kesukaran meneruskan kelangsungan hidup seharian.

“Tidak mampu untuk menghadirkan diri ke FFM tahun ini. Tidak dapat menyakinkan diri untuk berpura-pura menata rias dengan glamor dan meraikan (majlis itu) sedangkan hampir semua anak seni tidak mampu membayar bil, memberi nafkah atau memenuhi keperluan keluarga mereka,” ciapnya melalui akaun Twitter miliknya.

FFM30 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, bermula jam 8 malam nanti.

Untuk rekod, sebanyak 42 buah filem bakal berentap menerusi 24 kategori yang dipertandingkan.

Tahun berganti, tiada perubahan

Pemilik nama penuh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al Yahya itu juga turut meluahkan ciapan lain kepada Menteri Komunikasi Multimedia, Pengarah Komunikasi PKR dan Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Saya tidak tahu berapa lama kita boleh bercakap perkara sama berulang kali. Tahun sudah berganti tahun dan masih tiada perubahan.

“Diharap bantuan akan tiba tidak lama lagi @GobindSinghDeo, @FahmiFadzil dan @AhmadIdham,” ciapnya.

Pada masa sama, Sharifah, 33, menyeru selebriti yang akan hadir pada majlis berkenaan untuk bersatu hati dan menggunakan platform berkenaan sebaik mungkin bagi mengetengahkan kesukaran didepani penggiat seni.

“Bagi sesiapa yang pergi ke FFM nanti, tolong gunakan platform itu untuk mendidik dan memberitahu masyarakat isu yang sering kita hadapi setiap hari.

“Kita bukan sesiapa jika kita tak bersatu hati dan memperjuangkan satu sama lain,” ciapnya lagi.

Lihat Komen
ADS