Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelayaran saintifik kapal penyelidikan UMT: RV Discovery
Diterbitkan:  Mar 30, 2019 5:28 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

“Seronok bawa saintis, buka mata saya kepada cabang bidang maritim yang sangat luas,” kata Kapten Mohd Nazri Muhammad.

Mohd Nazri merupakan individu yang bertanggungjawab mengendalikan kapal penyelidikan RV Discovery milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sepanjang 20 hari pelayaran saintifik sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19).

RV Discovery telah membuat pelayaran menerusi dua laluan maritim, Laut China Selatan dan Selat Melaka, bermula di Kuala Terengganu pada 13 Mac lepas dan berlabuh di Tanjung Lembong, Pulau Langkawi, 22 Mac lepas.

Berkongsi pengalaman mengendalikan kapal penyelidikan tunggal milik UMT itu, Mohd Nazri, 34, berkata ia satu pelayaran yang menarik dan beliau bertuah kerana dapat membawa pasukan saintis berkebolehan dalam bidang berkaitan maritim dan sains marin.

“Sudah tentu latar belakang kami berbeza, di mana saya sendiri mempunyai latar belakang dalam bidang nautikal lebih 10 tahun, daripada situ kita dapat bertukar-tukar ilmu dan pengetahuan, Alhamdulillah, pelayaran dan tugas mereka dapat diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

45 kawasan persampelan

Ekspedisi yang disertai 25 saintis dan penyelidik itu, katanya, telah melalui lebih 45 kawasan persampelan dan sampel-sampel berkenaan akan dibawa ke makmal bagi tujuan pegumpulan data dan akan dibukukan bagi rujukan umum dan pihak industri.

RV Discovery kini berlabuh di Tanjung Lembong dan akan meneruskan misi saintifik ke Pulau Perak, Kedah pada 1 April sebelum belayar pulang dan dijadualkan tiba di Kuala Terengganu pada 5 April.

Mohd Nazri, yang berasal dari Marang, Terengganu, berkata beliau sebenarnya mencabar dirinya menyertai RV Discovery sebagai kapten kapal, kerana inginkan cabaran baharu selepas lebih 10 tahun berkhidmat dengan kapal kargo milik MISC Berhad.

“Rupanya, lebih seronok bawa saintis daripada bawa kargo. Pelayaran bersama RV Discovery lebih 20 hari juga membuka mata saya cabang bidang maritim ini sangat luas,” katanya yang turut berniat menyambung pengajiannya di UMT.

“Ia satu pengalaman yang baharu apabila perlu berhenti di setiap kawasan persampelan dalam kekerapan sejam atau dua jam sepanjang pelayaran itu. Proses pengambilan sampel perlu dilakukan dengan kadar yang pantas mengambil kira keadaan cuaca dan jadual perjalanan yang ditetapkan.

“Di situ saya boleh lihat kecekapan para saintis yang terlibat dalam eskpedisi ini, dan kemahiran mereka mengambil sampel dalam keadaan yang begitu pantas, bukan calang-calang orang yang boleh lakukan tugas sedemikian.

“Sebelum ini saya bawa kapal kargo yang berhenti di setiap pelabuhan untuk tempoh yang lama, dan sampai masa kita akan bergerak ke pelabuhan lain pula, jadi saya kagum dengan disiplin kerja para saintis UMT yang terlibat dan saya boleh katakan tiada kesulitan besar yang berlaku sepanjang ekspedisi selama 20 hari ini,” katanya.

Pelayaran bersejarah itu, katanya, turut mengiktiraf peranan saintis wanita dalam bidang kelautan dengan menampilkan Pengerusi Program Biologi Marin, Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran UMT, Dr Roswati Md Amin sebagai Ketua Pelayar bagi ekspedisi itu.

Beliau menyertai pelayaran dari Kuala Terengganu hingga ke Tanjung Pelepas, Johor, manakala rakan setugas, Profesor Madya Dr Ong Meng Chuan, mengetuai pelayaran dari Tanjung Pelepas ke Tangjung Lembong, Pulau Langkawi.

Dr Ong, berkata kemahiran yang dimiliki Mohd Nazri dalam mengendalikan RV Discovery banyak membantu pasukannya dalam melaksanakan misi itu dengan jayanya, terutama daripada segi pengurusan masa.

“Komunikasi dan kerjasama yang baik antara kru kapal, kapten kapal dan para saintis yang terlibat membolehkan kita mengambil sampel-sampel mengikut masa yang ditetapkan.

“Ada ketikanya, berlaku kejadian yang tidak diingini seperti sampel jatuh ke dalam laut, dan perlu masa untuk ambil semula. Macam saya sendiri, yang membuat kajian mengenai pencemaran logam berat di perairan Malaysia, untuk mengambil ‘sampel teras’ perlu masa yang agak lama, mungkin lebih dari sejam, kerana stesen persampelan boleh mencecah kedalaman hingga lebih 80 meter.

“Tapi kami bersyukur, atas kecekapan beliau, RV Discovery yang sepatutnya dijadualkan berlabuh Tanjung Lembong pada 24 Mac berjaya tiba dua hari lebih awal,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS