Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kerajaan tetap kena bentang laporan CEP, boleh tutup hal sensitif'
Diterbitkan:  Mar 31, 2019 11:37 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

Sejumlah 54 NGO menggesa kerajaan persekutuan tetap membuka laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kepada umum, walaupun dengan menyunting perkara yang dianggap sensitif.

Mereka berkata laporan itu, serta Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), bertujuan mereformasikan kerajaan, justeru perlu diketahui di peringkat awam.

Perkara sensitif berkaitan kewangan dan maklumat sulit lain boleh disunting jika perlu, kata mereka dalam kenyataan bersama semalam.

Antara NGO yang membuat gesaan itu ialah Bersih, Pusat Untuk Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Tenaganita dan Muslim Professional Forum.

"Selari dengan pendirian masyarakat sivil bahawa maklumat berkepentingan kepada negara perlu boleh diakses semua, persatuan masyarakat sivil dan individu yang bertemu dengan IRC perlu mengongsikan pandangan kepada orang awam," kata mereka.

Semak semula OSA

Sementara itu, kumpulan NGO itu juga menggesa kerajaan membuat "penilaian menyeluruh" berkenaan Akta Rahsia Rasmi 1972 yang digunakan ke atas laporan CEP.

Kata mereka, undang-undang itu mesti menepati piawaian antarabangsa berkenaan kebebasan maklumat, dan hanya tertakluk kepada perkara antaranya yang berkaitan keselamatan negara, pertahanan, hubungan antarabangsa.

"OSA undang-undang penuh kelemahan yang telah disalah guna untuk menyembunyikan tindakan jenayah dan salah laku kerajaan.

"Ia telah diguna untuk merahsiakan pelbagai dokumen, termasuk perjanjian lebuh raya dan konsesi air dan indeks pencemaran udara.

"OSA adalah simbol kerajaan yang mempunyai perkara yang mahu disembunyikan, dan tidak berminat dipertanggungjawabkan," kata mereka.

Laporan CEP dan IRC dihantar Ogos lalu. Pada masa itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk tidak mendedahkannya kepada umum.

Selepas diketahui laporan CEP diklasifikasikan sebagai rahsia, Mahathir berkata ia perlu dibuat kerana kandungannya mungkin merumitkan lagi rundingan yang sedang dijalankan.

Terdahulu, anggota CEP Jomo Kwame Sundaram menyuarakan kebimbangan kandungan laporan itu mungkin disalah guna. Bagaimanapun beliau telah menukar pendiriannya.

Lihat Komen
ADS