Paling Popular
Terkini

Pegangan agama seseorang ialah urusan peribadi dan tidak seharusnya diukur secara luaran semata-mata, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.

Beliau yang pernah digelar Wanita Besi berkata pada masa sama ada sesetengah "klepto berserban" yang berwajah seperti ahli syurga, tetapi rupa-rupanya melakukan perkara tidak elok membabitkan wang rakyat.

“Jangan ukur luaran. Itulah yang banyak klepto berserban.

"Lagi besar jubah dia, lagi banyak dia boleh simpan (sebab) poket besar.

“Minta maaflah, klepto yang jadi imam pun ada, kan? Itu yang berduyun-duyun pergi pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) hari-hari tu," katanya.

Jika sekadar melihat kepada wajah luaran mereka, kata Rafidah, pihak terbabit seperti ahli syurga.

Namun katanya seseorang ahli syurga sepatutnya tidak melakukan kesalahan seperti mencuri atau melakukan pecah amanah, terutama wang milik rakyat.

Nampak rambut semua 'naik'

Rafidah berkata demikian ketika berucap dalam program Bicara Minda di Shah Alam hari ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan moderator Johan Jaaffar tentang penilaian nilai Islam yang lebih bersifat luaran seperti cara berpakaian dan sebagainya.

Mengulas isu itu, Rafidah mengimbau kenangannya yang pernah disoal tentang penampilan tidak bertudung ketika menjawat jawatan ketua Wanita Umno satu ketika dulu.

Mengulang jawapannya pada waktu tersebut, Rafidah menjelaskan, suaminya tidak pernah meletakkan peraturan berkaitan pemakaian tudung.


Baca Panduan mudah mengenal negara kleptokratis


Kabinet dan perlembagaan juga, katanya, turut tidak meletakkan syarat berkaitan hal itu.

Jawab Rafidah lagi, dosa ialah urusan peribadi yang ditanggung sendiri oleh pelakunya, sekiranya benar seseorang itu melakukan kesalahan, dan terserah kepada pihak yang memandang wanita tidak bertudung untuk menjaga imannya.

“Takkan tengok rambut wanita semua ‘naik’? Baru tengok rambut. Saya berkata, orang lelaki yang beriman, kalau pada masa saya tengah bercakap ini masuk seorang wanita yang berbogel, (orang) yang beriman itu akan buka baju dan tutup wanita bogel itu kerana dia tahu wanita itu tidak siuman.

“Yang gatal tu, pergi ambil kamera, ambil gambar lagi dekat. Itu bezanya.

“Saya tak bertanggjawab atas dosa dia, dia tak bertanggungjawab atas dosa saya. Masing-masing dosa tanggung sendiri. Jangan guna politik agama. Lepas tu tak bangkit dah cerita saya (tak) bertudung,” katanya lagi.

Gambar fail

Disoal lanjut oleh Johan tentang perbincangan isu bangsa dan agama yang semakin kencang selepas pilihan raya umum lalu, anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negara itu berkata memang begitulah lumrah politik.

Rafidah turut membawa hadirin mengimbau tentang perseteruan di antara Umno dan PAS sehingga menyebabkan timbul isu kubur berasingan di kalangan umat Islam dan kafir-mengkafir.

“Masa saya bertanding di Kuala Kangsar, orang PAS tak nak salam dengan saya.

"Pak cik tu kata pada saya: saya tak salam dengan orang kafir.

“Saya kata, pakcik dah pergi Mekah? Saya dah pergi tau, tahun 1982. Saya (dah) hajah ni pak cik, pakcik kata saya ini (kafir).

"Peduli apa saya, kau tak nak mengundi aku pun tak apa,” katanya.

Menurut Rafidah lagi, dia tidak hairan jika ada pihak berbaik kerana matlamat politik.

“Dengan harimau yang nak terkam dia pun dia boleh buat baik.

“Saya tak begitu hairan kalau orang ni nak joint dengan dia kerana matlamat politik, bukan matlamat haluan pembangunan,” katanya lagi.

Biarpun tidak menyebut secara spesifik, Rafidah dipercayai merujuk Umno dan PAS yang dahulu bermusuh ketat, namun kini akrab menjalin kerjasama selepas kekalahan BN pada Mei tahun lalu.

Lihat Komen
ADS