Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Baju seragam Adib mungkin dibasuh sebelum diserah pada polis

INKUES | Pakaian seragam dipakai Muhammad Adib Mohd Kassim semasa mengalami kecederaan pada 27 Nov tahun lalu mungkin dibasuh sebelum diserahkan kepada polis, kata seorang saksi.

Pada sesi hari ke-21 hari ini, pegawai penyiasat kanan kes itu, ACP Lew Keng Joe juga berkata beberapa anggota bomba memberitahunya bahawa bedah siasat tidak perlu dilakukan ke atas Muhammad Adib.

Memberi keterangan di mahkamah koroner Shah Alam siang tadi Lew berkata dia meminta pegawai patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk memeriksa pakaian dikenakan arwah semasa insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya itu berlaku.

Bercakap di depan koronen Rofiah Mohamad, Lew berkata permintaan itu dibuat selepas dia menerima barangan tersebut daripada pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dikenali sebagai Mohd Zaikunor Affendi pada 30 Nov dan 4 Dis tahun lalu.

Barangan itu katanya ialah baju celoreng bomba, baju T dalaman, tali pinggang, seluar celoreng dan seluar dalam.

Inkues itu dilakukan Faten Hadni Khairuddin.

Ditanya kepada siapa pakaian tersebut diserahkan untuk diperiksa, Lew berkata sebelum diberi kepada Jabatan Kimia untuk analisis dia meminta pegawai unit patologi HKL untuk diteliti di pejabatnya.

Kesan trauma benda tumpul

Apabila ditanya tujuan ahli patologi itu diminta memeriksa pakaian anggota bomba terbabit, Lew menjelaskan, ketika itu Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara, Dr Mohd Shah Mahmood dan pasukannya melakukan penelitian awal ke atas barangan itu.

"Beliau memberitahu saya secara lisan bahawa seluar dan seluar dalam itu konsisten dengan kecederaan dialami pada lutut Adib.

"Sementara itu tiada kesan pada baju seragam dan beliau memberitahu saya ia (pakaian tersebut) mungkin sudah dibasuh.

"Tidak ada sebarang kesan pada bahagian kanan dada (Adib)," katanya.

ACP Lew Keng Joe

Pegawai penyiasat yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya itu kemudian mengenal pasti pakaian yang ditunjukkan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Sebelum itu Lew memberitahu beberapa anggota bomba memberitahu bedah siasat tidak perlu dilakukan ke atas jenazah Muhammad Adib kerana pakar bedah di Institut Jantung Negara (IJN) Dr Mohamed Ezani Md Taib boleh mengesahkan punca kematian.

Katanya ia berlaku ketika dia tiba di hospital pada malam Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Dis.

Faten Hadni: Boleh anda jelaskan apa yang berlaku semasa anda tiba di IJN?

Lew: Saya tiba di IJN kira-kira jam 10.30 malam. Selepas saya tiba di depan unit rawatan rapi, saya dihampiri beberapa anggota bomba yang saya tak ingat (nama mereka) kerana tidak berpakaian seragam.

Mereka memberitahu bedah siasat tidak perlu dijalankan dan Dr Ezani boleh mengesahkan punca kematian.

Selepas itu saya menghubungi Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Azlin dan beliau mengeluarkan arahan bahawa polis masih perlu memohon agar bedah siasat dilakukan.

Kemudian Dr Ezani memberitahu saya mangsa meninggal dunia akibat sindrom respiratori akut kesan daripada trauma benda tumpul pada dada dengan kegagalan pelbagai organ.

Kemudian bedah siasat dijalankan di HKL pada 1 pagi.

Dalam keterangannya, Lew yang menjadi saksi ke-28 dan terakhir untuk inkues itu juga memberitahu polis merakamkan keterangan daripada 61 saksi, termasuk 29 orang awam.

Katanya polis juga menahan seramai 12 orang suspek dan enam daripadanya ditangkap berhubung kes Muhammad Adib, manakala selebihnya berhubung rusuhan di pejabat pemaju.

Bagaimanapun kata Lew daripada semua saksi tersebut tiada seorang pun yang benar-benar melihat Muhammad Adib diserang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS