Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa terjadi pada Koh dan Amri?
Diterbitkan:  Apr 2, 2019 10:44 AM
Dikemaskini: 2:44 AM

KINI GUIDE | Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan mengumumkan hasil penemuan daripada inkuiri kehilangan Raymond Koh Keng Joo dan Amri Che Mat, esok.

Lebih dua tahun lalu, negara dikejutkan dengan rakaman CCTV yang menunjukkan bagaimana Koh, pastor Kristian dan pekerja amal, diculik lelaki bertopeng dalam masa 40 saat.

Insiden itu berlaku di siang hari di Petaling Jaya, Selangor pada 13 Feb 2017.

Tidak banyak diketahui mengenai kes Amri, walaupun laporan saksi mata semasa inkuiri menyatakan aktivis sosial itu dipantau dan kemudian diculik di Kangar, Perlis kira-kira tengah malam pada 24 Nov 2016.

Selepas mendengar keterangan daripada saksi, pegawai polis, pihak berkuasa agama, peguam mewakili keluarga mangsa, dan bekas ketua polis (IGP) Khalid Abu Bakar sendiri, Suhakam dijangka memutuskan sama ada ia percaya kerajaan terlibat dalam kedua-dua kes kehilangan itu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penglibatan pegawai kerajaan adalah salah satu daripada tiga unsur yang ditakrifkan sebagai "kehilangan paksa".

Suhakam juga dijangka menentukan sama ada polis telah menyiasat insiden itu dengan secukupnya.

Tida ada sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kehilangan Koh dan Amri setakat ini. 

Walaupun siasatan sedang dijalankan, pihak polis sebelum ini mengatakan bahawa semua petunjuk menunjukkan kebuntuan.

Berikut adalah detik-detik utama semasa inkuiri:

Inkuiri Raymond Koh

Inkuirir kes kehilangan Koh bermula pada bulan Oktober 2017, dengan sejumlah 16 orang memberi keterangan.

Awalnya, bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar mengatakan terdapat kemungkinan berlakunya kelompongan prosedur polis kerana mereka lewat mengambil keterangan daripada saksi mata.

Isteri Koh, Susanna Liew menuduh polis tidak memberitahu perkembangan kes, manakala pegawai penyiasat kes, Supari Mohammad berkata keluarga mereka tidak memberikan kerjasama apabila ditanya sama ada percubaan Koh menukarkan agama orang Islam kepada Kristian mungkin menjadi motif penculikan .

Sepanjang siasatan, polis menolak permohonan Suhakam untuk meminta diari siasatan Supari, pelan lakaran penculikan, klip CCTV penculikan itu dan lokasi terakhir telefon Koh.

Permintaan itu ditolak sebahagian besarnya atas alasan ia adalah rahsia negara.

Panel siasatan dan pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila Nik Saleh secara peribadi melawat tempat penculikan untuk memahami lokasi berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat memberi keterangan bahawa modus operandi di mana Koh diculik adalah taktik "sama" seperti operasi polis, tetapi menafikan polis terlibat dalam kehilangan pastor berkenaan.

Ketika inkuiri yang dijalankan, Suhakam menerima surat daripada polis yang mengatakan suruhanjaya itu terikat dengan Akta Suhakam 1999 untuk menghentikan siasatan.

Ini kerana perkara itu menjadi kes mahkamah selepas Lam Chang Nam, yang sebelum ini didakwa memeras ugut anak Koh, berdepan tuduhan baru menculik Koh.

Suhakam kemudian memutuskan untuk mengabaikan nasihat polis dan menyambung semula siasatan itu pada Ogos 2018.

Pedengaran itu juga menumpukan kenyataan Khalid yang mengaitkan suspek penyeludup dadah yang terbunuh dalam serbuan polis di Kedah dengan penculikan Koh.

Peguam keluarga Koh menuduh polis mereka-reka cerita untuk mengalihkan perhatian, manakala pihak polis menegaskan tidak mengaitkan perkara itu dalam kenyataan akhbar awal mereka kerana membahayakan siasatan dalam kes penculikan Koh.

Inkuiri Amri Che Mat

Inkuiri terhadap kehilangan Amri bermula pada Januari 2018, dengan 24 orang memberi keterangan.

Walaupun banyak permintaan dibuat untuk hadir, Saiful Afdzan, saksi utama dalam tuduhan penculikan itu dan bekas pekerja kontrak polis Saiful Bahari tidak muncul dalam inkuiri itu.

Dalam keterangan dalam satu rakaman video, Saiful menjelaskan dia menyaksikan tiga kenderaan menghentikan sebuah kereta yang didakwa dinaiki Amri di sepanjang Jalan Padang Behor di Kangar, Perlis, sekitar tengah malam pada 24 Nov 2016.

Pemandu kereta itu cuba melarikan diri tetapi akhirnya ditangkap oleh beberapa orang dari kenderaan itu.

Individu-individu berkenaan menempatkan pemandu itu di kerusi penumpang sebelum keempat-empat kenderaan beredar. Insiden itu berlangsung kurang daripada satu minit, kata Saiful.

Seorang lagi saksi, Syed Amri Abdul Jalil menjelaskan dia melihat sebuah kereta ditahan oleh tiga SUV berwarna gelap di jalan berkenaan pada malam kehilangan Amri.

Syed Amri berkata polis mengambil keterangannya mengenai apa yang dilihatnya pada Januari 2018, lebih setahun selepas kejadian itu berlaku.

Saksi lain bernama Vee Yak Ban Jong yang memberitahu inkuiri bahawa dia melihat tiga kereta - sebuah Toyota Vios keemasan, Honda Civic putih dan Toyota Hilux hitam - menunggu giliran untuk diparkir di rumah Amri dengan enjin tidak dimatikan selama tiga hari berturut-turut sebelum dia hilang.

Pihak polis dan mufti Perlis, Asri Zainal Abidin memberitahu inkuiri bahawa mereka percaya rumah Amri, yang digunakan untuk menganjurkan aktiviti NGO Perlis Hope, dijadikan lokasi menyebarkan ajaran Syiah.

Pegawai Cawangan Khas (SB) Perlis, Razman Ramli memberi keterangan bahawa polis memantau Amri berhubung tuduhan dia menyebarkan ajaran Syiah tetapi kemudian tidak menemui bukti menyokong dakwaan tersebut.

Polis juga mengesahkan Toyota Vios berwarna keemasan yang dilihat oleh Vee Yak di luar rumah Amri dimiliki oleh bekas pekerja kontrak polis Saiful Bahari, tetapi menegaskan bahawa kereta itu tidak ada kaitan dengan kehilangan Amri.

Pada Mei 2018, inkuiri itu dikejutkan apabila isteri Amri, Norhayati Ariffin (di atas, tengah) membuat laporan polis mendakwa pegawai SB Perlis Shamzaini Mohd Daud mendedahkan kepadanya bahawa sekumpulan pegawai Cawangan Khas Bukit Aman telah menculik Amri.

Dia juga mendakwa bahawa, menurut Shamzaini, pasukan Bukit Aman yang sama juga bertanggungjawab terhadap penculikan Raymond Koh.

Apabila tuduhan itu dikemukakan ke inkuiri, Norhayati mempertahankan laporan polisnya manakala Shamzaini menuduhnya berbohong.

Shamzaini juga membuat laporan polis menafikan tuduhannya dan menyatakan dia hanya bertemu Norhayati untuk bertanya mengenai sebuah kedai yang dimilikinya.

Lihat Komen
ADS