Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sembunyi pil kuda RM1.48 juta bawah rumah kampung

Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di Pasir Mas, Kelantan, Ahad lalu.

Ketua polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya berjaya mengesan sejumlah dadah jenis pil kuda bernilai RM1.48 juta yang disembunyikan bawah rumah di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas sekali gus menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita.

Menurutnya, dalam serbuan bermula pada jam 3 petang itu, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 46 tahun ditahan dalam tujuh serbuan di sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu.

"Dalam serbuan pertama pasukan khas tersebut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun menaiki sebuah motosikal Yamaha 135LC warna merah di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Dangar, Pasir Mas.

"Suspek itu cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan semasa proses tangkapan itu. Pemeriksaan di tubuh badannya menemui satu beg sandang warna merah bertulisan CS Holidays yang disilang di bahunya.

"Polis menemui dua bungkusan berbalut pita kekuningan mengandungi pil-pil kemerahan dan kehijauan disyaki pil WY atau yaba atau pil kuda,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Kamarulzaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Azmi Abu Kassim.

Hasanuddin berkata, berpandukan suspek pertama, serbuan kedua dilakukan pada jam 4 petang di sebuah rumah keluarga di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas.

“Hasil pemeriksaan menemui satu guni plastik warna putih lambang kucing serta bertulisan Thailand di bawah rumah. Di dalam guni tersebut terdapat 11 bungkusan berbalut pita kekuningan mengandungi pil WY, yaba atau pil kuda.

"Kita melakukan beberapa siri serbuan dan seramai tujuh suspek terdiri daripada empat penganggur, penjual ikan, peniaga kedai makan serta termasuk seorang suri rumah berusia 25 tahun ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Pasir Mas," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 7 April depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tambah Hasanuddin, pihaknya turut menyita tujuh buah kereta jenis Mercedes, dua buah Nissan Navara, Honda City, BMW dan dua buah Proton.

"Kita juga menyita wang tunai RM51,913 serta jam dan barangan kemas bernilai keseluruhan RM478,413.

"Sindiket berkenaan mendapatkan bekalan dari negara jiran dan pil sebanyak 74,000 biji (dirampas) bernilai RM1.48 juta itu cukup untuk digunakan oleh 74,000 orang penagih di negeri ini," jelasnya.

Lihat Komen
ADS