Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lynas: Keputusan kabinet kelak adalah keputusan rasmi kerajaan
Diterbitkan:  Apr 2, 2019 4:19 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Mesyuarat jemaah menteri akan membuat keputusan muktamad mengenai syarikat perlombongan nadir bumi Australia, Lynas Malaysia Sdn Bhd, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Jawapannya itu susulan kenyataan bercanggah yang dibuat oleh dua menteri mengenai isu sisa buangan Lynas.

"Mungkin akan berlaku perbezaan pendapat mengenai isu berkenaan dan ia adalah biasa. Namun, apa yang diputuskan oleh Kabinet kelak akan dianggap keputusan rasmi kerajaan," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin sebelum ini dilaporkan berkata sisa aliran radioaktif dan toksik dikenali sebagai water leached purification (WLP) Lynas mesti dibawa ke luar negara.

Walau bagaimanapun, Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof kemudian mendakwa bahawa pendirian Yeo itu tidak mendapat sokongan kabinet.

Beliau berkata keputusan kabinet adalah jelas, iaitu membenarkan Lynas terus beroperasi tetapi soal sisa kilang Lynas adalah perkara lain yang perlu ditangani.

Menteri itu menambah bahawa tiada keputusan bersama yang dibuat kerajaan untuk menghantar sisa berkenaan ke Australia dan perlu ada persefahaman dua hala dengan Australia.

Sementara itu, mengulas laporan penahanan setiausaha politik menteri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berhubung dakwaan menerima suapan berbentuk jam tangan berjenama, Dr Mahathir berkata terpulang kepada rakyat untuk menilai jenayah tersebut.

“Jika seseorang menerima sesuatu sebelum menyertai kerajaan itu masalah mereka, bukan masalah kita.

"Hanya apabila anda bekerja dalam kerajaan anda tidak dibenarkan menerima hadiah,” katanya sambil menegaskan anggota pentadbiran kerajaan tidak dibenarkan menerima hadiah.

Menurut laporan media, lelaki berusia 47 tahun itu dipercayai menerima jam tangan mewah tersebut sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan itu mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan kementerian terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS