Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Inilah isu terbaru yang dipolitikkan dan dimanipulasi dalam bentuk tidak bertanggungjawab.

Lebih teruk lagi, ada yang mengatakan ketua pegawai eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) itu sendiri bukan Islam, padahal orang yang menjawat kedudukan itu ialah Zukri Samad, seorang Melayu Muslim yang professional.

Beliau juga merupakan bekas CEO Bank Islam Malaysia Bhd.

Syarikat tujuan khas (SPV) yang mengambil alih aset Tabung Haji dengan bayaran harga premium atau tanpa merugikan badan itu ialah Urusharta Jemaaah Sdn Bhd (UJSB).

Siapakah anggota lembaga pengarah yang merupakan pengurusan tertinggi dalam pengurusan UJSB itu?

Mereka ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai pengerusi; Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Rashidah Mohd Sies; Pengarah Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd, Mohd Shukri Hussin; Timbalan Setiausaha Fiskal dan Ekonomi, Mohd Hassan Ahmad; dan Ketua Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Imri Dolhadi Ab Wahab.

Siapakah pula CEO bagi syarikat UJSB? Ia telah dijawab menteri bahawa tiada sesiapa menduduki jawatan itu buat masa ini.

Bukan lagi aset Tabung Haji

Disebabkan itu, operasi hariannya ditampung sebuah lagi syarikat kerajaan iaitu Prokhas Sdn Bhd (Prokhas). Ia merupakan syarikat kerajaan yang memang diamanahkan untuk menguruskan kebanyakan SPV milik kerajaan.

Ahli Lembaga pengarahnya pula ialah Mohd Salleh Mahmud, Dr Mohd Shukor Mahfar, Fauziah Yaacob, Mohd Nasir Ahmad dan Rashidah Mohd Sies.

Siapakah pula CEO Prokhas? Ketika ini dia ialah seorang tokoh berbangsa Cina iaitu Chen Yin Heng. Di sinilah isu yang dimanipulasikan.

Persoalannya: adakah aset Tabung Haji dikawal bukan Islam?

Jawabnya, tidak. Ia disebabkan aset yang diurus Prokhas tiada kaitan lagi dengan Tabung Haji kerana semua aset - yang dahulunya milik Tabung Haji - dipindahmilik kepada UJSB.

Maka aset terbabit bukan lagi aset Tabung Haji. Dari satu sudut ia dianggap sudah terjual kepada UJSB atau kerajaan Malaysia dengan harga tanpa rugi buat Tabung Haji (berbanding harga pasaran yang merugikan).

Justeru, tidak timbul sama sekali Prokhas dan CEO syarikat itu menguasai apa-apa bahagian atau aset Tabung Haji.

Membaca tuduhan yang dilemparkan dan melihat bagaimana ia disebarkan menunjukkan ceteknya kefahaman orang awam terhadap isu ini.

Atau, ia juga mungkin menunjukkan tidak bertanggungjawabnya pihak yang memutar-belitkan isu tersebut.

Selain itu, Prokhas juga sekian lama menguruskan pelbagai syarikat SPV kerajaan Malaysia, malah sejak dari pemerintahan kerajaan terdahulu.

Antaranya ialah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) dan Dana Infra dan Dana Harta.

SPV kerajaan Malaysia

Malah Chen juga telah lama berada di posisi beliau sekarang, iaitu sejak dari syarikat Danaharta lagi (pada 1998) dan kemudian bertukar ke Prokhas sejak 2006.

Adalah jelas ia bukan lantikan baru oleh kerajaan terkini.

Jadi, adakah seorang tokoh Cina kini menjadi CEO syarikat yang mengurus SPV Tabung Haji?

Tidak, kerana SPV tersebut tidak menguruskan aset Tabung Haji sebaliknya menguruskan aset milik syarikat UJSB iaitu sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan Malaysia yang mewakili kerajaan.

Ia tiada kena-mengena lagi dengan Tabung Haji kecuali kerajaan Malaysia melalui UJSB. Prokhas pula perlu cemerlang dalam pengurusan aset yang dibeli agar mereka boleh membayar hutang kepada Tabung Haji dan tidak menambah beban kerugian ke atas kerajaan Malaysia.

Jika mereka gagal memulihkan aset tersebut, kerajaan tetap mesti menyelesaikan hutang hasil jumlah pemindahan aset kepada Tabung Haji.

Menurut maklumat juga, kerajaan akan terus-menerus membantu syarikat-syarikat itu melalui pelbagai cara dan insentif.


Baca Tabung Haji kekal di bawah PMO


Menamakannya sebagai SPV Tabung Haji juga adalah salah dan menunjukkan ketidakfahaman ramai tentang isu berkenaan. Sebenarnya UJSB dan Prokhas adalah SPV kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan, bukannya SPV Tabung Haji.

Selain itu, seorang CEO tidak mempunyai kuasa penuh dalam pengurusan sesebuah syarikat kerana dia sentiasa perlu memberi laporan kepada anggota lembaga pengarah.

Pengerusi lembaga pengarah bersama semua anggota lembaga pengarah syarikatlah yang mempunyai kuasa tertinggi serta boleh menukar CEO sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik lagi kemas.

Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah haji - itu semakin baik.

Sudah tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan mereka sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan Tabung Haji. Misalnya memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM2.45 bilion pada 2013 apabila segala liabiliti dan pelarasan ditolak.


Dr Zaharuddin Abd Rahman ialah pakar kewangan Islam dan menjadi profesor adjung untuk Fakulti Perakaunan dan Kewangan Universiti Selangor (Unisel). Beliau juga presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du'at (Murshid).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS