Paling Popular
Terkini

Tiada arahan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Cawangan Khas (SB) untuk bertindak ke atas Raymond Koh serta Amri Che Mat yang kini masih belum dapat dikesan.

Perkara itu dinyatakan bekas menteri dalam negeri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika diminta mengulas dapatan siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakan) berhubung kes Koh dan Amri hari ini.

KDN ialah kementerian yang mengelolakan jabatan menjaga keselamatan negara termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM). SB ialah salah satu bahagian dalam PDRM.

“Tidak ada arahan seperti yang diberikan oleh saya atau KSU (ketua setiausaha) kementerian (ketika itu).

"Saya harap siasatan akan dijalankan secara profesional,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Terdahulu Suhakam membuat kesimpulan bahawa SB bertanggungjawab dalam kehilangan paksa membabitkan Koh - seorang paderi - dan Amri.

Kesimpulan itu dibuat berdasarkan inkuiri yang dijalankan Suhakam terhadap kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

"Panel menganggap bahawa kehilangan paksa Amri Che Mat dilakukan oleh ejen-ejen kerajaan dengan menamakan Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur dalam takrif Artikel 2 Konvensyen Antarabangsa Bagi Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED)," kata Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai.


Baca Suhakam: Polis terlibat kes kehilangan Koh, Amri


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid bagaimanapun berkata semua pihak harus menghormati dapatan siasatan awam Suhakam itu.

“Saya belum melihat laporan Suhakam, namun jika penemuan itu memperlihatkan ada penglibatan pihak ketiga maka kita harus menghormati laporan berkenaan," katanya.

Pada masa sama anggota parlimen Bagan Datuk itu menambah, orang ramai juga perlu menghormati institusi kepolisan.

Dalam isu kehilangan Koh dan Amri, kata Ahmad Zahid, siasatan yang mahu dilakukan harus berdasarkan pendekatan profesionalisme.

“Dan oleh kerana perkara ini sudah berlalu begitu lama, kita harus mengetahui bagaimana ia perlu dibuat,” katanya.

Amri hilang pada 2016 manakala Koh gagal dikesan pada 2017. Ahmad Zahid ialah menteri yang mengepalai KDN ketika itu.

Lihat Komen
ADS