Shamsul sedia ganti Ezam
Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab memimpin sayap Pemuda PKR apabila Ezam Mohd Noor melepaskan jawatan tersebut akhir tahun ini.
Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab memimpin sayap Pemuda PKR apabila Ezam Mohd Noor melepaskan jawatan tersebut akhir tahun ini.
Katanya, beliau akan meneruskan agenda perjuangan yang telah diletakkan Ezam untuk membasmi rasuah dan menegakkan keadilan di negara ini.
"Ezam telah meletakkan Pemuda PKR pada landasan yang betul dan ia perlu diteruskan walaupun Ezam telah meletakkan jawatan," katanya.
Shamsul berkata, beliau terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh Ezam kepadanya untuk memimpin sayap pemuda PKR.
Bagaimanapun, katanya walaupun namanya telah disebut oleh Ezam sebagai penggantinya, namun ini tidak bermakna calon lain tidak berpeluang menjadi ketua Pemuda.
"Sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, pemilihan jawatan penting seperti ini dibuat dalam pemilihan parti," katanya ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ezam bahawa beliau merupakan calon terbaik untuk menggantikan memimpin Ketua Pemuda PKR.
Sikap keterbukaan
Menurutnya, ini kerana kelebihan yang ada pada Ezam sebagai seorang pemimpin muda yang sangat komited kepada perjuangan membanteras rasuah dan menegakkan keadilan.
Shamsul berkata, keputusan Ezam mahu melepaskan jawatan menunjukkan sikap keterbukaan kerana baginya jawatan adalah amanah yang perlu dilaksanakan.
Dalam temubual dengan malaysiakini semalam, Ezam berkata beliau akan melepaskan jawatan Ketua Pemuda PKR pada akhir tahun ini untuk memberi tumpuan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) yang ditubuhkan pada akhir tahun lalu.
Apabila ditanya mengenai penggantinya yang paling layak memimpin Pemuda PKR, Ezam menyebut Shamsul.
"Dia adalah pilihan ahli-ahli pemuda , Dia masih muda, berumur bawah 35 tahun dan aktif terlibat dalam gerakan pemuda sejak beberapa tahun lalu.
"Ramai menganggapnya sebagai tokoh yang berbakat besar. Saya mempunyai keyakinan padanya," katanya.

