Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib: Kalau saya perompak, kenapa tunai Petronas RM174b?

PRK RANTAU | Bekas perdana menteri Najib Razak memaklumkan jumlah rizab tunai Petronas yang ditinggalkan pentadbirannya bagi menjawab pihak yang menuduhnya perompak.

"Kalau saya perompak (macam) mana duit tunai Petronas tinggal RM174 bilion," katanya pada majlis ceramah di Sendayan, Negeri Sembilan malam tadi.

Najib kini menghadapi 42 pertuduhan jenayah termasuk pengubahan wang haram, jenayah pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

Perbicaraan ke atas tujuh pertuduhan yang membabitkan SRC International, telah bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Rabu lalu.

Najib tidak bercakap mengenai perbicaraannya pada ceramah malam tadi, yang dihadiri kira-kira 250 orang.

Ucapan bekas presiden Umno, yang merupakan sebahagian kempen BN untuk PRK Rantau, sebaliknya memberi tumpuan mengkritik kerajaan PH termasuk mendakwa mengambil RM82 bilion daripada Petronas.

Petronas akan mengeluarkan dividen khas sebanyak RM30 bilion pada 2019 sebagai tambahan kepada dividen tahunan yang dibayar kepada kerajaan. Ini bertujuan untuk meringankan beban kerajaan membayar balik RM37 bilion dalam pembayaran balik GST.

Najib berkata tahun lepas beliau hanya mengambil "RM17 bilion" saja dalam dividen (sebenarnya RM19 bilion) daripada Petronas.

Jack Ma lari

Beliau berkata ini kerana beliau mahukan syarikat minyak negara melabur wangnya untuk penerokaan carigali telaga minyak baru.

Sementara itu, Najib juga mendakwa bos Alibaba, Jack Ma telah hilang keyakinannya terhadap Malaysia.

"Sekarang Jack Ma dah 'lari tengah malam'. Dia tak mahu dia kata.

"Dia kata kerajaan Malaysia tak boleh percaya," kata Najib.

Bagaimanapun, dakwaan ini kelihatan berdasarkan hantaran blogger Raja Petra Kamaruddin yang berkata Ma tidak gembira kerana kerajaan PH mungkir janji.

Raja Petra telah menarik balik keluar artikel itu selepas Alibaba menghantar surat guaman mendakwa dia berbohong dan memfitnah Ma.

Najib juga menggesa pengundi Rantau memilih calon BN Mohamad Hasan berbanding calon PH Dr S Streram.

"Antara Streram dengan Mat Hasan siapa lebih elok, Mat Hasan lebih elok, elok keseluruhanya.

"Pandai siapa lagi pandai Streram doktor cucuk bagi orang tidur, jadi semua orang tidur nanti," jelasnya.

Menurut Najib, Mohamad berpengalaman luas mentadbir negeri sebagai menteri besar selain latar belakangnya dalam bidang korporat.

"Jadi kalau tak sokong dia, bodoh lah," kata Najib lagi.

Kemudian, beliau segera meminta maaf berkata itu cuma sekadar cara penyampaian sahaja tetapi maksudnya pengundi tidak patut menolak pemimpin sebaik pemangku presiden Umno itu.

Mohamad tidak hadir ceramah Najib.

Terdahulu sebelum majlis ceramah, kedua-dua pemimpin Umno itu solat Isya berjemaah di sebuah surau di Sendayan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS