Paling Popular
Terkini

Perbicaraan kes bekas presiden Umno Najib Razak di mahkamah sedikit sebanyak merumitkan kempen BN di Rantau, kata anggota parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

“Jadual perbicaraan juga agak merumitkan kita di Rantau tetapi kita tidak akan ambil mudah perkara ini.

“Sedikit sebanyak isu ini perlu dijawab dan perlu diberikan penerangan,” katanya.

Perbicaraan kes pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa melibatkan dana bekas anak syarikat 1MDN, SRC International berjumlah RM42 juta bermula kelmarin.

Najib berdepan keseluruhan 42 pertuduhan di mahkamah selepas BN kecundang buat pertama kali dalam sejarah penguasaan 61 tahunnya.

Najib dan penyokongnya berdoa di kompleks mahkamah sebelum perbicaraan hari pertama bermula pada 3 April.

Bercakap kepada pemberita di Rantau, Khairy berkata BN harus menjelaskan kepada orang awam bahawa perbicaraan itu sebahagian daripada proses undang-undang dan tiada seorang pun boleh dikira bersalah selagi belum disabitkan oleh mahkamah.

Beliau ditanya sama ada kehadiran Najib di Rantau akan menjejaskan kempen calon BN Mohamad Hasan, yang juga timbalan presiden Umno.

Najib turun ke Rantau malam tadi dan akan berkempen lagi semalam di sana.

Dalam ucapannya semalam, beliau tidak menyentuh kes dihadapinya di mahkamah.

Najib dalam kempen sulungnya di Rantau.

Sementara itu, Khairy juga berkata BN mesti bekerja keras bagi mendapatkan sokongan bukan Melayu di Rantau.

“Kita tak nak lihat hanya dapat sokongan daripada Melayu. Kita kena cuba sedaya upaya untuk dapatkan sokongan daripada bukan Melayu,” katanya.

Khairy berkata Mohamad banyak berjasa kepada pengundi Cina dan India, terutamanya di Rantau dan oleh sebab itu tiada sebab mereka tidak akan menyokong calon BN itu.

Terdapat 47 peratus pengundi Melayu di Rantau.

Pilihan raya kecil Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohamad, calon PKR Dr S Streram serta dua calon bebas – R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Kerusi itu kosong selepas mahkamah membatalkan kemenangan Mohamad dalam pilihan raya umum tahun lalu selepas Streram dihalang menghantar kertas pencalonannya.

Tarikh pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 13 April.

Lihat Komen
ADS