Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kertas kerja ahli akademik tentang Statut Rom berat sebelah - Pelajar
Diterbitkan:  Apr 7, 2019 10:19 PM
Dikemaskini: Apr 8, 2019 11:13 AM

Sekumpulan aktivis pelajar hari ini mendedahkan rumusan eksekutif kertas kerja oleh empat ahli akademik yang mereka dakwa digunakan untuk meyakinkan Majlis Raja-raja agar menolak Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

"Hujah-hujah di dalam kertas tersebut sungguh berat sebelah apabila hujah hujah tersebut hanya membincangkan soal mengapa Majlis Raja-raja perlu menolak Statut Rom.

"Kami membuat pendedahan ini untuk menimbulkan satu wacana antara semua peringkat termasuk ahli akademik," kata mereka dalam satu kenyataan.

Berdasarkan kertas kerja yang didedahkan, pembentangan itu dibuat oleh Profesor Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rahmat Mohamad, profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Shamrahayu Abdul Aziz dan pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Seorang ahli akademik terlibat ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu.

“Saya maklum tentang perkara itu(pendedahan aktivis pelajar).

“Tapi saya minta maaf saya tidak dapat berikan sebarang kenyataan mengenainya buat masa ini,” kata Rahmat.

Usaha Malaysiakini mendapatkan reaksi ahli akademik lain setakat ini belum berhasil.

Sementara itu, menurut pelajar berkenaan, sebagai ahli akademik yang beretika, mereka perlu menyatakan kebaikan dan keburukan Statut Rom untuk dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja dengan sewajarnya.

"Kami juga membuat pendedahan ini supaya ahli akademik ini boleh tampil memberikan penjelasan dan berdebat dengan sihat. Mereka inilah punca kekeliruan yang sebenarnya," kata pelajar berkenaan.

Kenyataan pelajar itu ditandatangani oleh Asheeq Ali Sethi Alivi, Ainina Sofia Adnan Nurhuda Binti Ramli, Suhail Wan Azahar, Ahmad Taqiyuddin Shahriman, Wong Yan Ke, Chong Kar Yan, Nik Azura Nik Nasron dan Siti Nurizzah Mohd Tazali.

Kertas kerja itu antara lain menyebut contoh tribunal jenayah perang terhadap Maharaja Wilhelm II dan Maharaja Hirohito di ICC, yang ditadbir mengikut Statut Rom.

Ini, katanya membuktikan bahawa Raja-raja tidak kebal daripada pendakwaan di ICC.

Kertas kerja itu juga mendakwa Myanmar, yang bukan merupakan ahli ICC, tidak boleh dibawa ke ICC walaupun tuduhan melakukan pembersihan etnik terhadap masyarakat Rohingya.

Bagaimanapun, para pelajar berkenaan berkata perkara itu tidak benar.

Mereka menegaskan bahawa ICC pada September tahun lalu memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa ke atas pengusiran masyarakat Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh dan bahawa ia adalah satu kemungkinan jenayah kemanusiaan.

Mereka juga menegaskan bahawa AS, walaupun tidak menjadi ahli ICC, juga sedang disiasat mengenai kemungkinan melakukan jenayah perang di Afghanistan.

Para pelajar berkenaan berkata hujah yang dibuat oleh ahli akademik berkenaan kepada Majlis Raja-raja harus dibahaskan untuk mengelakkan kekeliruan.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pengunduran Malaysia daripada Statut Rom.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana statut itu membahayakan negara tetapi disebabakn kekeliruan oleh "orang tertentu yang ingin bebas memukul orang."

 

Lihat Komen
ADS