Malaysiakini BERITA

'Bukan tak ada duit, saya lupa beli rumah di Seremban'

Zikri Kamarulzaman  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK RANTAU | Bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan hari ini menjawab kritikan ke atasnya selepas kes berhubung pemindahan wang RM10 juta yang pernah dikaitkan dengannya dibangkitkan semula dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Rantau ketika ini.

Mengungkit kes sedekad lalu itu, pengkritik menyindir Mohamad yang menyatakan rasa sedih apabila terpaksa meninggalkan kediaman menteri besar susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

Dalam sidang medianya hari ini, Mohamad menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk mengatakan tidak mampu membeli rumah.

"Saya kata saya tak ada tempat untuk dituju, bukannya tak ada duit.. Saya lupa beli rumah di Seremban.

"Sebagai seorang lelaki, ayah dan suami, saya rasa sangat sedih. Saya tak tahu mahu bawa keluarga saya pergi mana.

"Saya sepatutnya mempunyai satu kediaman di Seremban," kata Mohamad.

Pada 2008, Mohamad disiasat berhubung pemindahan wang RM10 juta ke London melalui pengurup wang.

Kes berkenaan dibangkitkan semula oleh Speaker DUN Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar.

Mohamad menafikan dakwaan itu dan menjelaskan pemindahan wang berkenaan adalah bagi membeli pangsapuri di London.

Beliau juga menafikan tuduhan terbaru oleh Zulkefly semalam berhubung dakwaan salah laku dalam pemindahan hak milik tanah.

Dalam ceramah semalam, Zulkefly berkata kerajaan negeri berhasrat menyita tanah yang didakwa diberikan Mohamad kepada kroninya.

Kroni berkenaan didakwa tidak membayar cukai ke atas tanah yang mereka terima.

Mengulas tuduhan itu, Mohamad mencabar Zulkefly untuk meneruskan hasrat itu.

"Rampaslah. Buat apa yang patut. Kalau ada perkara perkara yang menyalahi undang-undang kerajaan boleh buat apa sahaja," katanya.

Mohamad menegaskan beliau tidak pernah menyalahgunakan jawatan sebagai menteri besar untuk memberikan tanah.

"Saya tak pernah meluluskan secara peribadi atas nama menteri besar.

"Semuanya diluluskan oleh pihak berkuasa negeri. Iaitu melalui exco. Kalau exco buat keputusan, itu keputusan pihak berkuasa negeri. Bukannya saya," katanya.