Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dalam raja berpelembagaan, perlembagaan yang tertinggi

ULASAN | Dalam bahasa Inggeris, raja adalah king, bahasa Arab pula malik, dan konig dalam bahasa Jerman. Jepun pula menyebutnya sebagai tenno dan dalam bahasa Denmark - konge.

Sama ada seorang raja, king, konig, malik, tenno atau konge, hampir semua raja dan permaisuri yang masih hidup dan masih diiktiraf pada abad ke-21 ini adalah raja-raja perlembagaan.

Terdapat juga ratusan atau mungkin ribuan raja tidak rasmi di seluruh dunia. Ini adalah mereka yang kehilangan takhta dan kerajaan ketika rakyat menghapuskan sistem monarki. Yang terbaru ialah Raja Nepal pada tahun 2008.

Saya terdorong membincangkan isu ini sekali lagi susulan keputusan kerajaan negeri PAS Kelantan yang melarang potret Yang di-Pertuan Agong daripada digantung di pejabat dan premis kerajaan negeri. Larangan itu kemudiannya ditarik balik selepas kutukan yang meluas.


Baca: Laporan: Kelantan benarkan gambar Agong, permaisuri


Saya juga cemas dengan kecenderungan segelintir putera raja yang membuat kenyataan politik menentang kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Saya rasa ini sesuatu permainan yang berbahaya.

Harus sentiasa diingati bahawa raja-raja perlembagaan ditadbir oleh undang-undang yang perlembagaan adalah tertinggi.

Tiada siapa, bahkan raja-raja, di atas undang-undang. Raja dan sultan hanya kebal terhadap tindakan undang-undang dalam melaksanakan tugas rasmi mereka.

Tidak seperti rakyat, raja-raja tidak boleh memihak dan melampaui politik. Mereka tidak seharusnya melibatkan diri dalam politik langsung.

Raja-raja adalah kebal terhadap pendakwaan hanya dalam melaksanakan tugas rasmi mereka. Namun, ahli keluarga mereka tidak.

Itulah sebabnya, di Eropah, putera dan puteri raja sering diheret ke mahkamah atas kesalahan jenayah dan harus memohon maaf secara terbuka jika mereka menceroboh urusan rakyat marhaen.

Hanya malik dari Arab Saudi dan sultan Brunei adalah raja-raja mutlak di mana segala-galanya di dalam kerajaan mereka, termasuk martabat rakyat dan kekayaan tanah negara, adalah kepunyaan mereka.

Selebih, raja-raja lain bukan. Bahkan raja Thailand yang dianggap suci bukanlah pemerintah yang mutlak. Baginda masih secara nominal adalah raja berperlembagaan tetapi dilindungi oleh undang-undang Le Majeste.

Malaysia juga adalah monarki (raja) berperlembagaan. Tetapi tidak seperti monarki berperlembagaan yang lain, kita juga adalah persekutuan yang terdiri daripada beberapa negeri.

Oleh itu kita bukan mempunyai satu tetapi banyak raja. Kita mempunyai sembilan pemerintah. Tujuh digelar sebagai sultan, satu sebagai yamtuan besar (Negeri Sembilan) dan seorang raja (Perlis).

Antara mereka seorang ketua dipilih secara bergilir-gilir untuk setiap lima tahun yang dipanggil sebagai Yang di-Pertuan Agong. Jadi, kita mempunyai 10 raja di sebuah negara yang mempunyai 32 juta penduduk.

Kita tidak mempunyai masalah dengan itu. Kita menghormati raja-raja kita pada tahap tinggi. Kita terpukau dan kagum melihat majlis pertabalan gilang gemilang mereka dan sanggup berhenti untuk memberi laluan kepada kenderaan mereka.

Mengikut tradisi moden, ada individu murahan dari setiap kaum cuba melobi dan malahan membayar wang yang lumayan untuk mendapatkan darjah kehormatan serta gelaran daripada raja-raja.

Dan jangan lupa pembayar cukai. Mereka menghabiskan ratusan juta ringgit setiap tahun untuk memastikan raja-raja kita selesa dan selamat berada di atas takhta di istana yang berkilauan. Ada sebuah istana seorang raja dilaporkan bernilai RM1 bilion.

Dan dalam lagu kebangsaan kita, "Negaraku" kita bahkan menyelitkan doa untuk raja kita:

"Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja kita
selamat bertakhta."

Justeru, seperti yang saya katakan berulang kali, raja kita selamat bertakhta adalah dengan syarat apabila baginda berada di takhta.

Dalam satu artikel mengenai subjek monarki berperlembagaan yang diterbitkan dalam blog saya, saya pernah mengatakan bahawa dalam berdoa supaya raja kita selamat bertakhta, kita tidak berkata raja kita boleh bertakhta secara aman di bilik lembaga pengarah atau di hutan mencari balak dan melombong galian.

Apa yang saya maksudkan ialah raja dan pemerintah lain hanya berperanan dengan tugas rasmi mereka dan tidak boleh terbabit dalam perniagaan serta bersaing dengan rakyat.

Artikel itu dan satu lagi mengenai perbelanjaan diraja menyaksikan banyak laporan polis yang dibuat terhadap saya atas dakwaan menghasut. Saya telah ke ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman sebanyak dua kali untuk merakamkan kenyataan saya.

Kita kini hidup di zaman Internet apabila “dinding dapat mendengar, siling dapat melihat dan lantai boleh bercakap”. Tiada apa-apa lagi yang rahsia - bahkan apa berlaku di dalam bilik tidur atau di tempat yang begitu jauh.

Oleh itu, adalah bahaya bagi mana-mana pemerintah dan menteri besar "diraja" untuk menganggap bahawa apa yang berlaku pada pertemuan mingguan dan mesyuarat exco adalah rahsia.

Lebih lemah atau lebih dibenci seseorang menteri besar itu, maka lebih banyak lagi "rahsia" mesyuarat exco akan bocor.

Itulah sebabnya penting untuk mempunyai orang berwibawa, bijak dan boleh dipercayai sebagai menteri besar.

Seorang menteri besar bertanggungjawab terhadap rakyat negeri itu dan perdana menteri yang mencadangkan pelantikannya. Malangnya ini tidak berlaku dengan semua menteri besar.

Bagi putera raja yang merasakan bahawa rakyat kurang cukup menghormatinya atau berpendapat mereka boleh dengan bebas membidas kerajaan yang dipilih oleh rakyat di media sosial; pesanan saya mudah: turun dari singgahsana dan bertumbuk seperti Mohammed Ali di gelanggang politik.

Kenapa tidak? Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dari Kedah memilih arena politik dan menjadi perdana menteri pertama dan kesayangan rakyat. Begitu juga dengan Tunku Abdullah Almarhum Tunku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan.

Kita juga mempunyai Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar dari Pahang dan juga ahli politik yang masih aktif seperti Tengku Razaleigh Hamzah dari Kelantan.

Orang Perancis tidak menyingkirkan Raja Louis XVI kerana kepetahan Robespierre tetapi kerana ketika mereka tidak mempunyai roti untuk dimakan. Ratu mereka, Marie Antoinette, mencadangkan kepada mereka untuk memakan kek – kes yang menunjukkan raja yang gagal berhubungan dengan rakyat.

Baru-baru ini - pada tahun 2008 - rakyat Nepal memberi Raja Gyanendra tempoh dua minggu untuk mengosongkan takhta dan mengisytiharkan negara itu sebagai sebuah republik setelah anggota keluarga diraja membunuh satu sama lain dan negara berada dalam anarki.

Dan jika raja kita tidak bersedia memikul tanggungjawab terhadap tindakan kerajaan yang melampau dalam keadaan luar biasa seperti peperangan, kita sentiasa boleh meminda perlembagaan supaya mereka dapat dikecualikan daripada menjadi sebahagian daripada tindakan sedemikian.

Jika tidak, kita mesti mengiktiraf kuasa perundangan dan eksekutif kerajaan yang dipilih.

Mudah-mudahan, seperti kata rocker Ramli Sarip, "sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa".


DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini asalnya dimuat naik di blog beliau dan dalam bahasa Inggeris. Tulisan ini pandangan peribadi penulis yang dibuat dalam kapasiti sebagai seorang penulis blog.

Beliau juga menekankan bahawa ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin dipegangnya. Tulisan ini juga tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.


[Baca tulisan asal dalam bahasa Inggeris]

ADS