Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apartmen RM10 juta Mat Hasan di London, Amanah lapor SPRM

PRK RANTAU l Susulan pengakuan bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan membeli sebuah apartmen di London yang melibatkan wang tunai RM10 juta, Pemuda Amanah hari ini tampil membuat laporan kepada SPRM.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Sahrizal Masrudin yang membuat laporan itu meminta pihak penguatkuasa supaya segera menyiasat kekayaan luar biasa Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Hasan.

"Pemuda Amanah Negeri Sembilan berasa terkesima dengan pengakuan Mat Hasan yang juga calon BN di PRK (Pilihan Raya Kecil) DUN Rantau.

"Ini kerana cara pemindahan wang itu tidak melalui prosedur biasa. Kami ragui sumber wang tunai RM10 juta, yang dimiliki beliau yang ketika itu baru empat tahun bertakhta sebagai menteri besar Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM, Negeri Sembilan, di Seremban.

Pada lewat 2009, dakwaan Mat Hasan memindahkan wang tunai RM10 juta melalui seorang pengurup wang menjadi perhatian umum rentetan peristiwa pembatalan 20 lesen perniagaan pengurupan wang oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketika itu, beliau berjaya mengelak daripada menjawab polemik itu. Bagaimanapun, dua hari lalu, pemangku presiden Umno itu mengakui membeli apartmen di London yang dipercayai bernilai RM10 juta.

Susulan itu, ramai yang tertanya-tanya mengenai kekayaan Mohamad yang sebelum ini pernah berkata bahawa dirinya tidak memiliki rumah di Seremban.

"Kami nak pihak SPRM segera menyiasat kekayaan Mat Hasan termasuk pemindahan wang tunai RM10 juta ke London yang ternyata melanggar Akta Pengurupan Wang 1998.

“Ini kerana ia tidak melalui prosedur dan kebenaran Bank Negara," kata Sahrizal.

Pemuda Amanah turut mencabar Mohamad untuk mengisytiharkan harta beliau secara keseluruhan sebelum tempoh PRK tamat.

Isu rumah bekas MB itu menjadi perbincangan PRK Rantau selepas Mohamad menyatakan rasa sedih apabila terpaksa meninggalkan kediaman rasminya susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

Beliau kemudiannya menjelaskan dirinya tidak bermaksud untuk mengatakan tidak mampu membeli rumah.

 "Saya kata saya tak ada tempat untuk dituju, bukannya tak ada duit.. Saya lupa beli rumah di Seremban," katanya.

Susulan kenyataan Mohamad itu, tular beberapa gambar dan video di media sosial mendakwa beliau memiliki sebuah banglo di Seremban 2.

Banglo tersebut yang dikatakan bernilai hampir RM6 juta itu terletak di Saujana Duta, Seremban 2.

Sebelum ini, pada April lalu, Mohamad berkata tidak perlu bagi beliau mengisytiharkan asetnya sekadar hanya untuk pilihan raya kecil Rantau.

Menurutnya, beliau telah mengisytiharkan asetnya dengan SPRM ketika menjadi menteri besar, sebagai sebahagian daripada dasar kerajaan Negeri Sembilan, sebelum ini.

Malah, dakwanya, hartanya makin lama makin susut tidak bertambah hingga beliau terpaksa menjual rumah, kereta dan tanah untuk mengurangkan komitmen susulan tidak ada pendapatan, kecuali pencen dan elaun wakil rakyat.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Mohamad, calon Pakatan Harapan Dr S Streram dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.

Kerusi itu kosong selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan untuk mengisytiharkan kemenangan Mohamad pada PRU lepas sebagai terbatal.

Ini berpunca daripada tindakan pegawai SPR menghalang Streram daripada memfailkan kertas pencalonannya pada pilihan raya umum 2018.

Lihat Komen
ADS