Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan bekas tokoh korporat, tak hairan berharta, kata KJ

PRK RANTAU | Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak hairan dengan kekayaan calon BN, Mohamad Hasan yang ditimbulkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau.

Ini kerana menurutnya, Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat itu merupakan bekas tokoh korporat yang berjaya sebelum menyertai politik.

"Orang Rantau tahu tetapi mungkin yang datang dari luar tidak tahu latar belakang Tok Mat.

"Tok Mat dia bukan ahli politik profesional. Dia bukan ahli politik (yang menyertai politik) daripada umur muda sampailah beliau menjadi menteri besar Negeri Sembilan," kata Khairy ketika berucap di Ceramah Sepentas BN, di Taman Kelab Tuanku di Rantau malam tadi.

Khairy berkata penglibatan Mohamad dalam politik bermula pada tahun 2004 apabila beliau dipanggil perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.

"Pada masa itu Tok Mat adalah seorang tokoh korporat, menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada Mercedes Benz.

"Bukan (CEO) Myvi tapi Mercedes Benz. Bukan saya hina Myvi, tapi saya nak tunjuk betapa hebat Tok Mat. Dia (bekas) CEO di peringkat Asia Tenggara. CEO Cycle and Carriage Mercedes Benz Asia Tenggara," katanya.

Tambah KJ, jarang-jarang sebuah firma automotif berpangkalan di Eropah melantik seorang anak tempatan untuk menerajui sebuah syarikat antarabangsa.

"Jadi tak hairan Tok Mat mempunyai harta. Sebelum ini gaji beliau adalah (gaji) CEO kepada sebuah syarikat antarabangsa," tegas Khairy.

PH guna serangan peribadi

Isu kekayaan Mohamad menjadi bahan kempen PH apabila isu pemidahan wang RM10 juta ke luar negara oleh bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dibangkitkan semula pada PRK Rantau.

Susulan itu, pemangku Presiden Umno mengakui membeli apartment bernilai RM10 juta di London pada tahun 2009.

Menurut Khairy, Pakatan Harapan (PH) melakukan serangan peribadi dengan menjadikan isu kekayaan Mohamad sebagai modal kempen mereka selepas melihat momentum sokongan kepada BN semakin meningkat.

"Apabila pihak lawan melihat momentum kita semakin meningkat, maka kita dapat lihat dalam tempoh masa dua tiga yang lepas ini, serangan mereka sudah masuk ke serangan peribadi.

"Kalau sebelum ini mereka cakap pasal dasar apa nak yang dibuat janji mereka dan sebagainya, tetapi selama dua tiga hari ini banyak serangan dituju kepada Tok Mat," katanya.


Lihat Komen
ADS