Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inkuiri Suhakam berat sebelah, kata peguam senior

Peguam senior Shaharudin Ali hari ini meluahkan rasa tidak puas hati dengan dapatan siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung kes kehilangan paksa pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat.

Shaharudin berkata Suhakam telah melaksanakan inkuiri kehilangan Raymond Koh dan Amri secara berat sebelah sehingga memburukkan nama Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tindakan melakukan inkuiri itu dilihat berat sebelah kerana tiada peguam dari pihak PDRM tampil membela diri sedangkan kedua-dua keluarga mempunyai barisan peguam,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Shaharudin, ketiadaan peguam untuk membidas tuduhan serius yang dilemparkan kepada PDRM juga amat mendukacitakan.

“Ketiadaan active participant daripada kamar peguam negara pada hemah saya adalah mendukacitakan dan dilihat tidak dapat memintas hujah-hujah pihak lain.

“Ini secara langsung memberi impak tersalah laksana keadilan dan mendedahkan keputusan Suhakam tersebut dicabar,” katanya yang tampil secara peribadi mengulas dapatan tersebut.

Kata Shaharudin yang bertindak sebagai pemerhati beliau terkilan kerana Suhakam menjalankan inkuiri yang jelas terkeluar daripada skop bidang kuasanya sedangkan ia bukannya kes perlanggaran hak kebebasan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi hanyalah kes jenayah.

“Inkuiri itu tidak ada kena mengena dengan infringement of human rights. Kes penculikan adalah kes jenayah yang lazimnya disiasat oleh polis, bukan pelanggaran hak kebebasan seperti termaktub dalam Perlembagan Persekutuan Fasal 5-13.

“Semua pihak mengetahui polis sedang melakukan siasatan manakala kes membabitkan pastor Koh sedang dalam perbicaraan, ini melanggar Seksyen 12 (2) Akta 597 iaitu Suhakam tidak boleh melakukan siasatan membabitkan perkara yang belum selesai di mana-mana mahkamah," katanya.

Tuduhan Suhakam jejaskan perbicaraan

Shaharudin berkata, inkuiri ini juga akan menjejaskan perbicaraan yang sedang berjalan dan atas faktor itu, pegawai yang didakwa mewakili PDRM berat untuk memberi kenyataan.

"Suhakam bersungguh-sungguh mengukuhkan tuduhannya dengan merujuk Konvensyen Antarabangsa berkaitan Perlindungan Orang Awam dari Penguatkuasaan Kehilangan (ICCPED) sedang pelaksanaannya yang banyak dilakukan di Amerika Latin tidak diiktiraf Malaysia malah ia tidak bersesuaian di negara ini kerana pelbagai faktor.

"Sepatutnya Suhakam menunggu siasatan dan perbicaraan sebelum membuat sebarang teori malah dengan tindakan menuduh sebuah agensi penguatkuasaan melakukan jenayah ia satu tuduhan yang serius," katanya.

Shaharudin turut menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang meminta Suhakam memberikan bukti yang menunjukkan polis Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan tersebut selepas laporan itu diumumkan satu perkara yang tidak boleh diterima.

Kerajaan pada 5 April mengumumkan akan membuka siasatan baru susulan laporan Suhakam yang membuat kesimpulan bahawa Cawangan Khas Bukit Aman terlibat dalam kehilangan paksa terhadap Koh dan Amri.

Suhakam mendakwa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap penculikan kedua individu itu dan menuntut kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bebas untuk meneliti kes kehilangan itu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS