Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menjelaskan bahawa levi pelepasan udara ke luar negara hanya dikenakan ke atas mereka yang keluar dari Malaysia melalui udara, dan bukannya menggunakan laluan darat dan laut.
Ini susulan beberapa ahli parlimen yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka pagi tadi mengenai kemungkinan levi yang dicadangkan itu meliputi perjalanan rentas sempadan negara seperti Johor-Singapura, Malaysia-Thailand dan Sarawak-Brunei.
"Bukan, hanya melalui udara sahaja. Tiada ada jika berkaitan dengan perjalanan darat atau pelabuhan, hanya perjalanan udara yang keluar dari Malaysia," kata Lim selepas menyampaikan Anugerah SME CGC kali ke-24 di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, sentuhan terakhir ke atas levi yang dicadangkan masih dibuat dan kerajaan tidak akan tergesa-gesa untuk melaksanakannya.
"Mungkin selepas Hari Raya Haji," katanya sambil menekankan bahawa jemaah haji tahun ini juga akan dikecualikan membayar levi pelepasan udara itu.
Lim berkata, pengecualian levi itu juga turut terpakai bagi penganut agama lain yang kali pertama mengerjakan ibadat mengikut agama masing-masing.
"Haji kalau pergi satu kali dan umrah satu kali mereka tidak kena (levi pelepasan udara). Kalau lebih daripada satu kali, itu lain (dikenakan levi)," katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain dalam usaha menggalak pembangunan pelancongan domestik.
