Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muafakat pembangkang patahkan usul pinda perlembagaan - Annuar

KATA MP | Sejarah tercipta di Parlimen Malaysia pada jam 10.25 malam tadi. Usul kerajaan untuk meminda perlembagaan negara berjaya dipatahkan oleh muafakat pembangkang apabila usul meminda Perlembagaan oleh Perdana Menteri gagal mendapat 148 undi seperti yang diperlukan.

Gabungan Parti-Parti Sarawak, PAS dan BN telah ambil pendirian tidak mengundi dan berkecuali.

Penolakan ini adalah atas dasar pindaan perlembagaan yang cuba dibawa tidak menepati hasrat rakyat Sabah dan Sarawak yang mahukan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakann.

Sebaliknya kerajaan hanya cadang meminda Perkara 2(1), yang dianggap tidak memadai, bersifat kosmetik dan membelakangi hasrat sebenar rakyat sabah dan Sarawak.

Terdahulu sebelum undian secara belah bahagi, semasa menggulung perbahasan, pihak kerajaan telah menolak semua cadangan pihak pembangkang supaya pindaa perlembagaan dibuat secara cermat, teratur dan menyeluruh dengan memasukkan segala aspek selari dengan MA63 yang antara lain:

1) Merujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Terpilih/Special Select Committee Parliament.

.2) Memperbincangkan terlebih dahulu di Dewan Negeri Sabah dan Sarawak.

3) Memasukkan dengan jelas perkataan "berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963".

Kerajaan menolak ketiga-tiga cadangan pembangkang menyebabkan pembangkang sepakat untuk berkecuali dan menyebabkan usul kerajaan tertewas. 

Sikap kerajaan yang enggan menunaikan janji dalam manifesto mereka secara total dalam isu MA63, telah mengakibatkan mereka ditewaskan pembangkang di parlimen.

Kuasa rakyat lebih besar

Inilah kuasa rakyat yang telah membuktikan Semak dan Imbang berjaya dilaksanakan dengan berkesan demi maruah dan suara rakyat. Kerajaan tidak boleh dibiarkan berdolak-dalik dengan janji dan manifesto mereka.

Mutakhir ini, kerajaan PH banyak mengabui mata rakyat dengan melancarkan perang persepsi dengan cara mereka-reka alasan untuk meletakkan kegagalan mereka menunaikan janji dengan menyalahkan BN.

Kali ini mereka terperangkap dengan taktik mereka sendiri. Selepas ICERD dan Statut Rom, kegagalan meminda perlembagaan secara kosmetik adalah kegagalan ketiga PH apabila suara rakyat berjaya dipertahankan menerusi muafakat pembangkang.

Jika di negara maju, peristiwa seperti ini sudah pasti membawa kepada peletakan jawatan atau pembubaran parlimen. 

Tetapi kita tahu kerajaan PH akan cuba bertahan dengan menggunakan kuasa menindas, menekan dan memfitnah pihak yang tidak menyokong mereka. Namun kuasa rakyat dan takdir illahi ternyata lebih besar.


ANNUAR MUSA ialah Setiausaha Agung Umno dan juga Anggota Parlimen Ketereh.

Artikel ini asalnya kenyataan akhbar penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS