Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Osman Sapian meletakkan jawatan menteri besar Johor semalam. Demikian disahkan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Biarlah saya terus terang dan kalau hendak dituduh kejam (ruthless/cruel) saya terima.

Seperti kata ungkapan Inggeris yang dirujukkan kepada Shakespeare, “I must be cruel only to be kind.”

Untuk melakukan kebaikan kepada majoriti, saya terpaksa “ruthless” kepada sebilangan kecil yang merosakkan.

Kekejaman yang akan saya lakukan adalah saya tidak akan bersimpati dengan Osman jauh sekali membuat alasan bagi pihak beliau.

Saya berasa cukup yakin bahawa tekanan Pakatan Harapan (PH), amnya dan parti beliau, Bersatu, khususnya supaya beliau meletakkan jawatan adalah tindakan bertimbang rasa demi kebaikan rakyat Johor.

Orang Johor berhak mendapat menteri besar yang mampu menaikkan maruah mereka. Menteri besar yang mewakili keseluruhan rakyat jelata Johor dan bukan kelompok tertentu.

Apa guna mereka bermegah-megah dengan slogan dan identiti negeri kalau mereka tidak ada digniti.

Sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan memberi harga diri (dignity) kepada setiap orang yang cukup umur 21 tahun melalui hak mengundi.

Tetapi hak itu akan menjadi tidak berguna dan akhirnya hilang apabila wakil yang mereka pilih berubah daripada menjadi wakil rakyat kepada boneka pihak-pihak tertentu.

Justeru itu, kalau saya kejam dalam penilaian saya terhadap Osman maka saya juga akan tidak bertolak-ansur (forgiving) dalam harapan (expectation) saya terhadap pengganti beliau.

Kita tahu apa kesilapan dan kegagalan Osman. Antaranya beliau dilihat sebagai tidak mengutamakan kepentingan rakyat yang memilihnya.

Beliau tidak mentadbir Johor berasaskan suara majoriti, tetapi terus tunduk kepada kepentingan sempit golongan elit dan berduit.

Isu status pemilikan tanah Pulau Kukup, pemugaran hutan bakau untuk mendirikan kawasan riadah eksklusif golongan elit dan pengambilan tanah sesuka hati semuanya melanggar janji pilihan raya PH dan aspirasi rakyat jelata yang memilih PH pada 9 Mei lalu.

Saya juga tidak bersimpati dengan Osman kerana secara bersemuka saya telah bercakap sendiri dengan beliau ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan beliau meyakinkan saya bahawa tuduhan ke atasnya adalah tidak benar.

Kita tidak boleh sekali-kali menerima dan melayan cabaran daripada golongan elit terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Panduan Sejarah

Tiba-tiba pemikiran “kejam” saya membawa saya kembali ke masa lampau untuk melihat bagaimana pemimpin terdahulu menangani krisis negeri, khususnya cabaran terhadap kuasa kerajaan pusat.

Hal ini berlaku di banyak negeri yang melibatkan perebutan kuasa di kalangan kelompok yang diamanahkan untuk mentadbir.

Sebagai negara persekutuan, kerajaan pusat mempunyai hak untuk campur tangan. Dalam kes ekstrem ia boleh mengisytiharkan darurat bagi menjamin atau mengembalikan ketenteraman awam.

Inilah yang dilakukan oleh Almarhum Tun Hussein Onn pada tahun 1977 apabila kerajaan pusat mengisytiharkan darurat dan mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan.

Statut Rom

Berkenaan Statut Rom (Undang-undang Rom) mengenai jenayah terhadap kemanusiaan seperti pembunuhan beramai-ramai, saya menggesa kerajaan agar menimbang semula keputusan untuk tidak menyertainya.

Kalau Raja-raja bimbang yang mereka akan dilibatkan, kita boleh pinda perlembagaan untuk tidak membabitkan mereka dalam hal-hal yang boleh membawa kepada tindakan di bawah undang-undang antarabangsa itu.

Dalam beratus tahun sejarah ketamadunan kita, sudah berapa kali kah kita melakukan jenayah seperti yang tersenarai dalam statut itu?

Yang kita tahu, jenayah seperti itu yang terjadi di negara kita dilakukan oleh bangsa-bangsa penjajah. Pembunuhan Batang Kali misalnya.

Tapi dengan kita tidak menganggotai konvensyen antarabangsa seperti Statut Rom kita secara sengaja memberi gambaran bahawa kita mencurigai kemampuan kita untuk tidak melakukan kekejaman secara sistematik.

Kalau kita hendak menjadi anggota masyarakat antarabangsa, kita tidak boleh tunduk kepada tekanan minoriti atau oleh golongan berkepentingan.

Kalau ada tekanan atau bangkangan, kita wajib mengatasinya melalui rundingan atau kita pinda perlembagaan supaya sumber bantahan dan ketakutan itu dihapuskan.

Seandainya benar Raja-raja kita bimbang mereka akan dipertanggungjawabkan, Parlimen boleh meminda Perlembagaan agar bidang kuasa mereka tidak mencakupi peruntukan Statut Rom.

Kita ada pakar undang-undang dan perlembagaan taraf antarabangsa. Mengapa harus kita serah ketamadunan dan kemanusiaan kita kepada empat orang pensyarah universiti yang ramai kita tidak pun kenal?


DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini asalnya dimuat naik di blog beliau dengan tajuk ‘Osman Sapian Letak Jawatan MB Johor’. Tulisan ini pandangan peribadi penulis yang dibuat dalam kapasiti sebagai seorang blogger.

Beliau juga menekankan bahawa ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin dipegangnya. Tulisan ini juga tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS