Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tasik Chini diwartakan sebagai kawasan hutan simpan kekal
Diterbitkan:  Apr 10, 2019 11:44 AM
Dikemaskini: 3:44 AM

Kerajaan negeri Pahang mewartakan kawasan seluas 4,900 hektar di Tasik Chini sebagai hutan simpan kekal, sesuai dengan kedudukan kawasan itu sebagai tapak Rezab Biosfera seperti yang pernah diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikam Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) pada 2009.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 6 Mac lepas yang sekali gus akan memelihara kawasan itu dari sebarang aktiviti guna tanah termasuk perlombongan dan pembalakan.

“Setakat ini kita memang tidak menerima sebarang laporan pembalakan di kawasan ini dan kali terakhir pembalakan haram dikesan di kawasan ini adalah pada 2014.

“Bagaimanapun setakat ini masih ada satu kawasan perlombongan bijih besi berlesen di kawasan ini yang beroperasi, yang akan tamat lesennya pada bulan Oktober nanti,” katanya kepada pemberita selepas program lawatan kerja di Tasik Chini di Pekan, semalam.

Program itu disertai oleh Timbalan Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puri serta Presiden Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.

Hizamri berkata selepas tempoh berkenaan, pihaknya akan melakukan usaha pemuliharaan dengan cara pengurusan bersepadu untuk memastikan kelestarian alam sekitar di kawasan itu terus dikekalkan.

Sementara itu Tengku Zulpuri berkata lawatannya ke Tasik Chini adalah untuk melihat secara dekat tentang kemusnahan yang berlaku di kawasan itu seperti yang banyak dilaporkan di media masa.

“Kita juga mendengar keluh kesah daripada penduduk tempatan serta Orang Asli yang tinggal di kawasan ini tentang kehidupan mereka yang terjejas akibat aktiviti guna tanah yang dilakukan di sini dan memang didapati air Tasik Chini agak surut.

Dalam masa yang sama Shariffa Sabrina mengharapkan kerajaan negeri akan mewujudkan zon penampan seluas dua kilometer dari kawasan Tasik Chini dalam usaha untuk mengekang pencemaran dan memulihkan kembali kawasan tasik air tawar semula jadi kedua terbesar di negara ini.

“Langkah kerajaan negeri untuk mewartakan kawasan Tasik Chini ini sebagai hutan simpan kekal merupakan satu berita yang sangat baik dan kita harap kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama untuk membaik pulihkan kawasan ini,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS