Paling Popular
Terkini

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak tiga rayuan bekas Perdana Menteri Najib Razak berhubung kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Kes berkenaan membabitkan tujuh tuduhan yang dikenakan ke atas Najib membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn bhd.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Richard Malanjum sebulat suara menolak tiga rayuan itu selepas mendapati hakim Mahkamah Tinggi dan panel Mahkamah Rayuan tidak tersilap ketika menolak rayuan terbabit.

Turut bersidang, Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah, Hakim Mahkamah Persekutuan Ramly Ali dan Idrus Harun.

Sehubungan itu, panel mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan berkenaan pada 21 Mac lalu.

Najib dalam rayuan interlokutorinya memohon mendapatkan perintah melarang media dan orang ramai daripada membincangkan dan menerbitkan kenyataan mengenai merit tujuh tuduhan kesnya.

Beliau juga memohon perintah mendapatkan beberapa dokumen tambahan termasuk pernyataan saksi sebelum perbicaraan bermula dan rayuan mengenai tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Selain itu panel hakim dalam sidang hari ini membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang meminta Jabatan Peguam Negara menunjukkan surat lantikan pendakwa sementara, Sulaiman Abdullah.

Pada 21 Mac lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menolak tiga rayuan interlokutori itu selepas mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat kesilapan apabila menolak permohonan Najib.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan tiada keperluan pihaknya masuk campur terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu Pada 4 Julai tahun lalu,

Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC.

Bekas Presiden Umno itu kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana sama.

Lihat Komen
ADS