Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
8 transaksi meragukan Felda di bawah penelitian
Diterbitkan:  Apr 10, 2019 4:48 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

KERTAS PUTIH | Kerajaan hari ini membentangkan Kertas Putih mengenai Felda di Dewan Rakyat, yang antara lain memperincikan beberapa transaksi yang dipersoalkan yang telah menyebabkan kedudukan kewangan agensi itu berada dalam keadaan kritikal.

Bermula sebagai sebuah entiti untuk membantu golongan bumiputera miskin menerusi skim perladangan, Felda di bawah kepimpinan bekas naib presiden Umno, Mohd Isa Abdul Samad meneruskan usaha membawanya secara global melalui cabang pelaburan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Berikut adalah senarai perjanjian yang dipersoalkan dan ringkasan apa yang berlaku, menurut Kertas Putih. 

Ia berdasarkan audit forensik oleh Ernst & Young.

1. Grand Plaza Kensington: FIC bayar RM75 juta, dapat RM20,500 

 

Park City Grand Plaza Kensington adalah sebuah hotel yang terletak di tengah London, yang FIC dakwa dibeli dengan harga 60 juta pound (RM321 juta) pada tahun 2014.

Sebenarnya, hotel itu dibeli dengan harga 46 juta pound (RM246 juta) dan baki 14 juta pound (RM75 juta) sebagai faedah untuk individu tertentu melalui struktur yang direka untuk menjadikan FIC membayar 60 juta pound untuk hotel berkenaan.

Pada permulaan, tiada perjanjian antara penjual Park City Grand Plaza Kensington dan FIC.

Sebaliknya, sebuah syarikat British Virgin Islands (BVI) milik rakyat Malaysia, yang dikenali sebagai "Syarikat I" dalam Kertas Putih berkenaan, membeli hotel itu dengan harga 46 juta pound pada 12 Sept 2014.

Selepas itu, rakyat Malaysia yang tidak dinamakan itu kemudian memindahkan saham Syarikat I bernilai AS $ 5,000 (RM20,500) kepada dua pengarah FIC pada masa itu dengan harga 14 juta pound pada 13 Oktober 2014.

Pemilikan Park City Grand Plaza Kensington berharga 46 juta pound dan AS$ 5,000 saham dibeli Syarikat I berharga 14 juta pound hanya dipindahkan ke FIC pada tahun 2015, selepas namanya ditukar kepada FIC London Hotel (Private Limited).

Ini walaupun FIC mendakwa dalam penyata kewangannya bahawa aset tersebut sudah dimiliki sejak 2014.

"FIC telah menanggung kerugian GBP14 juta akibat pembelian saham Syarikat I tersebut di atas nama dua bekas pengarah FIC tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FIC dengan harga GBP14 juta walaupun nilai saham tersebut hanya berjumlah USD5 ribu. 

"Berikutan proses pembelian yang meragukan, FIC telah melaporkan pembelian ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut," jelas Kertas Putih berkenanan.

Penilaian pada tahun 2015 mendapati nilai Park City Grand Plaza Kensington merosot kepada 26 juta pound (RM139 juta).

Pembelian itu tidak pernah dibentangkan untuk mendapat kelulusan oleh lembaga Felda. Ia hanya dimaklumkan oleh FIC tiga bulan kemudian.

2) Pangsapuri Service Grand Plaza - RM76.5 juta lesap

 

FIC melalui FIC UK Properties Sdn Bhd (FUPSB), membeli Grand Plaza Servis apartment empat bintang dari "Syarikat D" dan "Syarikat E" berharga 98 juta pound (RM524 juta) pada 31 Julai 2013.

Bagaimanapun, apabila menyemak laporan kewangan Syarikat D, yang juga termasuk butir-butir Syarikat E, didapati bahawa syarikat-syarikat itu hanya menerima 83.7 juta pound (RM448 juta). 

"Ini bermakna perbezaan jumlah sebanyak GBP14.3 juta yang tidak dapat dikesan daripada transaksi tersebut," jelas Kertas Putih.

Kemerosotan prestasi GPSA mengakibatkan FUPSB tidak mampu membayar balik pinjaman kepada Felda yang telah memberikan dana pendahuluan untuk pembelian hotel tersebut. 

Keadaan ini memaksa FUPSB mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan sebanyak GBP48 juta dengan jaminan korporat Felda bagi membayar balik hutangnya.

Kerugian GPSA secara berterusan juga menyebabkan Felda terpaksa menanggung kos operasi GPSA. Sehingga kini, FUPSB masih menanggung kerugian secara purata RM19.82 juta setahun melalui operasi GPSA. 

3) Eagle High - Tiada jaminan RM2.07b

 

Pada Disember 2015, lembaga Felda meluluskan pembelian "exchangeable bond" yang kemudian menjadi 37 peratus kepentingan dalam Eagle High Plantations Tbk (EHP) Indonesia dengan harga AS $ 505.4 juta (RM2.07 bilion). 

Perjanjian jualan dan pembelian ditandatangani pada 23 Dis 2016.

Pembelian itu dibuat melalui FIC Properties Sdn Bhd (FPSB) daripada "Syarikat AI" seperti yang dirujuk oleh Kertas Putih.

Ia menyatakan bahawa Kementerian Kewangan, yang pada masa itu dipimpin oleh bekas perdana menteri Najib Razak, juga terlibat dalam perjanjian itu dengan menyediakan "nasihat strategik dan cadangan mengenai struktur pelaburan".

Harga pembelian sebanyak AS $ 505.4 juta bermaksud Felda membeli saham EHP pada harga AS $ 0.043 sesaham walaupun ketika ahli lembaga pertama kali memberi kelulusan, ia bernilai AS $ 0.0098 di pasaran terbuka, memberikan nilai AS$ 115.2 juta (RM472 juta ).

"Ini bermakna Felda telah bersetuju dengan harga pembelian saham EHP pada lkadar 344.13 peratus lebih tinggi berbanding harga pasaran saham ketika itu.

Tambahan pula, semua saham EHP yang dimiliki oleh Syarikat AI telah dicagarkan kepada Credit Suisse untuk mendapatkan pinjaman.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengemukakan pelbagai pertanyaan dan persoalan berkenaan struktur pelaburan, manfaat pembelian saham danpenggunaan dana pelaburan.

"Walaupun mengetahui risiko terbabit, Lembaga Pengarah Felda tetap meluluskan pelaburan ini tanpa pelaksanaan ‘due diligence’ tambahan dan tanpa penjelasan dalam minit mesyuarat merangkumi rasional keputusan," jelas Kertas Putih.

4. KLVC- Felda berisiko rugi RM1.5 bilion

 

Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) merupakan cadangan pembangunan bersepadu di tanah seluas 20 ekar di Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

FIC menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat yang disebut dalam Kertas Putih sebagai "Syarikat F" untuk projek berkenaan.

Pada tahun 2017, dilaporkan bahawa Syarikat F, selepas menerima Surat Kuasa Wakil telah memindah milik tanah Felda di Jalan Semarak kepada syarikat itu dan satu lagi "Syarikat G" antara 2 Dis 2015 dan 7 Nov 2016 tanpa pengetahuan Felda.

Kertas Putih menyatakan bahawa pengurusan FIC tahumengenai perkara itu sejak Julai 2016 tetapi tidak mengambil tindakan. Lembaga pengarah Felda hanya sedar akan perkara itu lapan bulan selepas transaksi dibuat.

Mewakili Felda tanpa pengetahuannya berkenaan penjualan itu, Syarikat F meletakkan harga RM270 juta walaupun tanah itu dinilai pada harga RM618 juta.

Malah ia meminta 10 peratus daripada RM270 juta itu dibayar kepada Felda, manakala baki 90 peratus diambilnya.

Perjanjian jual beli yang dikendali Syarikat F mendakwa Felda tidak berhasrat melantik peguam sendiri.

Selain kontroversi tanah itu, Felda juga setuju untuk menyewakan 700,000 kaki persegi ruang pejabat selama 20 tahun di bangunan yang bakal dibina Syarikat F, walaupun keperluan sebenar FIC hanyalah 3.6 peratus daripada ruang itu.

"Perjanjian sewa ini telah mengakibatkan FIC terdedah kepada pelbagai risiko seperti kerugian hasil sewaan yang bernilai sekurang-kurangnya RM1.5 bilion untuk tempoh 20 tahun," kata laporan itu.

5. Grand Felda House: Bagaimana mahu untung RM31 juta dalam 2 minggu

 

Pada September 2014, lembaga pengarah FIC setuju untuk membeli hartanah 450 bilik Dexion 1 dan 802 bilik Dexion 2 di Wembley, London. Dua bangunan itu kemudian dinamakan sebagai Felda House dan Grand Felda House, dan dijadikan hostel pelajar.

FIC melalui FIC Global Limited (FGL) membeli Grand Felda House pada harga 24 juta pounds (RM128 juta) daripada "Syarikat K" pada 13 Oktober 2014.

Bagaimanapun Syarikat K baru saja membeli bangunan itu 13 hari lepas pada 17 juta pounds (RM91 juta).

Bagi Felda House, FGL membelinya pada harga 10 juta pounds (RM53.5 juta) daripada "Syarikat J" pada 13 Okt 2014.

Syarikat J pula membelinya pada harga 4.35 juta pounds (RM23.3 juta) 16 bulan sebelumnya, iaitu pada 1 Julai 2013.

Ini belum mengambil kira kos pembangunan Felda House dan Grand Felda House, masing-masing 48.5 juta pounds dan 85.26 juta pounds. Syarikat K bertindak sebagai kontraktor.

Selain pembelian meragukan, ada juga isu dalam struktur syarikat.

Ia ditubuhkan oleh dua bekas pengarah FIC, tetapi Kertas Putih berkata tiada bukti menunjukkan mereka sebagai pengarah penama (nominee director).

FIC hanya mengambil alih syarikat itu selepas namanya ditukar kepada FGL dan dengan harga AS$50,000 (RM205,000).

Seperti urus niaga lain yang telah disebut, ia juga tidak mendapat kelulusan lembaga pengarah Felda. Lembaga pengarah hanya dimaklumkan tiga bulan kemudian.

6. Dataran Aras: Felda belanja RM148 juta untuk tanah yang tak boleh digunakan

Dataran Aras Sdn Bhd (DASB) adalah syarikat perladangan di Limbang, Sarawak yang tidak dapat memulakan operasi walaupun selepas tiga tahun ditubuhkan pada 2007.

Namun Felda memutuskan untuk mengambil alih DASB daripada pemiliknya (tidak dinamakan dalam Kertas Putih) dengan harga RM148.2 juta. Ia termasuk 10,907 hektar tanah milik syarikat itu di Limbang.

Felda membeli tanah itu dengan niat membuka ladang kelapa sawit tanpa membuat penelitian sewajarnya. Sejumlah 54 peratus tanah itu kemudian didapati merupakan tanah hak adat bumiputera (NCR).

Pengurusan Felda tidak memaklumkan lembaga pengarah berkenaan status NCR itu walaupun telah membuat kunjungan ke sana.

Menurut Kertas Putih, penilaian bebas mendapati jika status NCR itu diambil kira, nilainya hanyalah satu pertiga daripada harga asal, iaitu RM50.9 juta.

Urus niaga yang jelas berat sebelah ini tidak berakhir di situ kerana Felda turut membuat persetujuan dengan pemilik asal DASB, yang membenarkan mereka melantik syarikat untuk kerja pembalakan di kawasan itu untuk 2011 hingga 2013 tanpa pembayaran kepada Felda.

Pemilik asal kemudian menjual hak pembalakan kepada pihak ketiga pada harga RM400,000.

7. Felda Wellness: RM244,000 untuk anak pengarah

 

Felda Wellness Corporation Sdn Bhd (FWC) adalah subsidiari kepada FIC dengan pengkhususan dalam bidang biofarmaseutikal.

Namun ia terlibat dengan amalan meragukan, termasuk pelantikan anak seorang bekas pengarah FWC ke dalam sebuah syarikat Australia, yang mana FWC melabur di dalamnya.

FWC membelanjakan RM244,000 untuk perbelanjaan dan gaji individu itu yang dilantik sebagai pengurus kewangan.

Isu lain termasuk pelaburan FWC berjumlah RM24.1 juta dalam syarikat Amerika Syarikat dan Australia tanpa kelulusan FIC mahupun Felda. Dua syarikat itu hanya berusia setahun.

FWC juga memberikan 19 kontrak bernilai RM119.6 juta tanpa tender dan membuat bayaran sekurang-kurangnya RM46.01 juta kepada syarikat tanpa bukti kerja telah pun dibuat.

FWC ditubuhkan pada 2013 dan ditutup pada 2017 selepas gagal menunaikan komitmen hutang.

8. Grand Borneo - Felda beli hotel dibebani hutang

 

Pada 28 Mei 2013, Felda memeterai perjanjian untuk mengambil alih Grand Borneo Hotel Sdn Bhd pada harga RM86.4 juta.

Namun Kertas Putih mengatakan nilai pasaran pada masa itu RM78 juta. Ini bermakna Felda terlebih bayar sebanyak RM8.4 juta.

Urus niaga itu diteruskan walaupun laporan due diligence menunjukkan syarikat itu berdepan masalah aliran tunai serius dan telah menanggung kerugian sejak 2010, dengan kerugian terkumpul setakat 2011 mencecah RM18.3 juta.

Hotel itu juga dinyatakan dijadikan cagaran untuk pelbagai pinjaman.

Berita berkaitan:

FGV, FIC punca utama masalah Felda

Peneroka jadi tuan tanah dengan model baru Felda

Kerajaan setuju suntik lebih RM6 bilion untuk pulih Felda

Lihat Komen
ADS