Malaysiakini BERITA

Tok Mat 'penipu' skandal tanah Gatco, dakwa peneroka

B Nantha Kumar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK RANTAU | Jawatankuasa Bertindak Badan Peneroka Gatco hari ini mengecam bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohamad Hasan sebagai penipu dalam skandal tanah Gatco.

Mereka turut menyaran pengundi DUN Rantau supaya tidak mengundi Mohamad yang juga merupakan calon BN bagi PRK DUN Rantau pada 13 April ini.

"Mat Hasan ini seorang penipu. Saya meminta pengundi Rantau jangan undi dia pada PRK ini," dakwa Setiausaha Jawatankuasa Badan Bertindak Gatco, John Cantius Francis kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan PH di Rantau.

Francis mendakwa Mohamad menipu 170 peneroka berkenaan kerana tidak menunaikan janji memberikan pampasan tanah ganti sebagaimana yang dipersetujui dalam penjanjian awal.

"Tetapi, saya nak tanya beliau mana tanah yang dijanji kepada hampir 170 peneroka yang berkebanyakan penyokong BN yang dijanji empat ekar tanah pada 2015," katanya yang turut menggesa pihak berkuasa menyiasat penglibatan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu.

Tak kira penyokong sendiri

Menurutnya, pada 15 Jun 2015, hampir 170 peneroka Gatco bersetuju dengan penyelesaian yang ditawarkan Mohamad supaya mereka menerima empat ekar tanah, walaupun pada awalnya peneroka menuntut pampasan tanah seluas lapan ekar.

"Majlis secara besar-besaran diadakan dianjurkan oleh kerajaan negeri (pada waktu itu). 

"Soalan saya, adakah 170 peneroka ini yang menerima desakan Mat Hasan (untuk bersetuju dengan tawaran penyelesaiannya) sudah mendapat empat ekar yang tanah dijanji. Masih tidak ada.

"Inilah belang sebenar Tok Mat yang menipu bukan sahaja kami malah, tidak mengambil kira penyokong sendiri," katanya lagi.

Francis selanjutnya mendakwa Mohamad tidak menghormati keputusan menteri besar sebelumnya, Isa Samad yang bersetuju memberikan pampasan tanah seluas lapan ekar kepada peneroka Gatco.

"Saya juga di sini cabar beliau kalau seorang pemimpin jiwa rakyat kenapa tidak menunaikan keputusan bekas menteri besar Mohd Isa Samad yang terdahulu telah membuat keputusan di mesyuarat exco untuk memberikan lapan ekar kepada peneroka pada awal 1990-an.

"Lebih-lebih lagi adanya hampir 130 peneroka Melayu dalam Ladang Gatco ini yang turut dianiaya oleh Mat Hasan," katanya lagi.

Untuk rekod, tanah yang terbabit dalam pertikaian itu, seluas kira-kira 4,700 ekar, telah dipajakkan kepada The Great Alonioners Trading Corporation Berhad (Gatco) pada tahun 1977 oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC).

Gatco ditubuhkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang bagi tujuan skim pembangunan tanah untuk ahli-ahlinya.

Peneroka sekarang telah membayar RM7,600 sebagai deposit untuk menjelaskan plot tanah yang diperuntukkan sebagai sebahagian daripada skim pembangunan itu.

Tanah tersebut pada awalnya dirancang untuk dijadikan ladang getah, namun Gatco menghadapi masalah kewangan menyebabkan projek berkenaan terbengkalai dan gagal.

Kemudiannya, tanah tersebut dirampas pihak berkuasa sebelum ditawarkan dalam lelongan awam pada 2004 dan dibeli oleh Thamarai Holdings pada 2007.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru yang melibatkan Mohamad, calon Pakatan Harapan Dr S Streram dan dua calon bebas, R Malar dan Mohd Nor Yasin.