Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Undang-undang Liew Vui Keong berkata sejarah akan mengenang pihak yang menggagalkan usaha kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan status asal Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.

"Sejarah akan mengenang pihak yang menggagalkan RUU ini," kata menteri di JPM itu kepada pemberita ketika sidang akhbar di parlimen hari ini.

Usul meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu membabitkan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai negeri dalam negara ini.

Melalui fasal baru itu, perlembagaan akan memperincikan kedudukan semua negeri yang membentuk persekutan dan mengembalikan status negeri semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Liew turut ditanya mengenai kritikan pindaan yang dibentangkan itu bersifat kosmetik kerana ia hanya mencerminkan kedudukan geografi negeri di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

Liew berkata kritikan ini sama seperti pelabelan MA63 sebagai hanya konsep geografi.

"Itu pendapat mereka. Dengan pindaan yang kami buat, kami menyatakan bahawa Persekutuan Malaysia terdiri daripada negeri-negeri Malaya dan negeri-negeri Borneo.

"Jadi kita kembali ke 1963. Bolehkah mereka mengatakan hari ini bahawa apa yang berlaku pada tahun 1963 (ketika Malaysia dibentuk) juga hanya geografi?

"Saya tidak membuat ini [...] bagaimana ia boleh menjadi (perubahan) kosmetik.

"Jadi anda (pengkritik) menyalahkan nenek moyang anda, begitu?" Soalnya.

BN, PAS, GPS berkecuali

Bagaimanapun ketika undian dijalankan malam tadi, kerajaan gagal mendapat sokongan dua per tiga anggota Dewan Rakyat seperti yang disyaratkan bagi meminda perlembagaan.

Keputusan undian menunjukkan 138 anggota parlimen menyokong dan 59 berkecuali. Tiada anggota parlimen yang mengundi untuk membantah RUU tersebut.

Anggota parlimen yang mengambil sikap berkecuali ialah dari BN, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Untuk membolehkan rang undang-undang itu diluluskan PH memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 148 undi.

Walaupun begitu, Liew berkata Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai MA63 akan terus membincangkan pindaan terhadap Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata masih ada kemungkinan RUU itu akan diajukan semula pada masa akan datang, tetapi bergantung kepada "tekad" menteri yang berkhidmat untuk mendapatkan kelulusan kabinet.

"Jadi ia perlu menunggu sehingga menteri yang akan datang, yang prihatin dan mempunyai semangat untuk membawa perkara-perkara ini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS