Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cadangan turunkan usia mengundi untungkan BN, kata Zahid

PRK RANTAU | Dr Ahmad Zahid Hamidi meramalkan cadangan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun akan memanfaatkan BN.

Berucap di majlis santai dengan pengundi di Taman Angsamas semalam, anggota parlimen Bagan Datuk itu berkata kebanyakan golongan muda ketika ini tidak sehaluan dengan kerajaan.

"Kerajaan pada Julai nanti akan turunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

"Untuk PRU ke-15 nanti, wahai kerajaan, aku nak ingatkan kamu, anak-anak muda terutama berumur 40 tahun ke bawah mereka kebanyakannya menentang arus (tidak sehaluan dengan kerajaan).

"Kamilah - pembangkang - dianggap sebagai penentang arus," katanya.

Justeru bekas timbalan perdana menteri itu mencabar PH untuk mengemukakan rang undang-undang meminda perlembagaan bagi membuka jalan kepada rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas mengundi.

"Insya-Allah, mereka itu (orang muda) akan berdamai dengan BN," katanya di hadapan kira-kira 200 hadirin.

Semalam pun tak cukup

Turut hadir, Naib Presiden MIC, C Sivaaraajh, Senator Khairul Azwan Harun dan pemimpin-pemimpin PAS.

Kata Ahmad Zahid, kecenderungan anak-anak muda itu bukan sesuatu yang baru, malah ia berlaku di seluruh dunia.

"Sebab jangan ingat anak-anak muda ini bodoh. Jangan merendahkan kemampuan mereka untuk melihat kebenaran," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang kini berehat daripada tugas selaku presiden Umno turut menimbulkan keraguan terhadap kemampuan kerajaan pusat meluluskan pemindaan perlembagaan berkenaan.

"Saya tahu untuk meminda perlembagaan mereka harus dapat tiga pertiga majoriti. 

"Ertinya, harus ada 148 undi. Eh, semalam pun tak cukuplah," sindir beliau selepas kerajaan tidak berjaya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan apabila gagal mendapat sokongan dua pertiga majoriti daripada jumlah ahli Dewan Rakyat.

Untuk rekod, pada 19 September tahun lalu, kabinet menyatakan persetujuan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Bagaimanapun, kerajaan memerlukan persetujuan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meluluskan pindaan tersebut.

Lihat Komen
ADS