Dalam satu langkah yang tidak dijangkakan sebelum ini, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang melawat ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur bulan lalu, dan menerima kalungan bunga oleh presiden parti komponen BN, SA Vigneswaran.
Ini susulan Umno dan PAS yang membentuk satu pemuafakatan politik yang rasmi.
Dalam artikel Harakah Online hari ini, Hadi mengimbas kembali lawatan itu dan menceritakan secara panjang lebar tentang India, sambil menyatakan bagaimana negara itu telah melahirkan pelbagai agama dan sarjana Islam.
Presiden PAS juga mengaitkan hubungan sejarah parti Islam itu dengan kaum India yang beragama Hindu.
Menurutnya, presiden kedua PAS, Dr Abbas Alias, seorang pegawai perubatan semasa zaman penaklukan Jepun di Tanah Melayu, pernah menyelamatkan seorang tahanan Hindu daripada dijatuhkan hukuman mati.
“Ketika PAS pada asalnya NGO mahu ditukar kepada parti politik yang sah untuk bertanding dalam pilihan raya 1955 pada zaman penjajah dahulu, Dr. Abbas datang ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan, tiba-tiba orang India Hindu yang diselamatkannya dahulu ialah timbalan pengarah pendaftar.
“Maka alangkah terkejutnya dia terserempak dengan orang yang pernah menyelamatkannya daripada tali gantung.
“Kebetulan bosnya orang putih (Inggeris) penjajah itu tidak datang ke pejabat, maka dia terus menandatangani surat pengesahan PAS menjadi parti politik,” kata Hadi.
Sambil melahirkan penghargaan kepada MIC kerana mengundangnya ke ibu pejabat parti itu, Hadi juga menyatakan terdapat di kalangan masyarakat India bukan Islam yang bersama PAS dalam sayap Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).
“Kita tidak harus meletakkan semua daripada kalangan bukan Islam dalam satu bakul yang sama dengan kumpulan yang bersikap prejudis terhadap Islam dan fanatik perkaumannya atau melampau.
“Laksanakan petunjuk Al-Quran yang menegaskan bahawa seluruh manusia itu adalah keluarga besar,” katanya.
Presiden PAS juga menekankan pentingnya menghadapi perkara yang berbeza secara terbuka melalui dialog untuk mencari kebenaran.
Katanya, konsep Islam boleh menerima kebijaksanaan yang datang daripada segenap penjuru.
“Hentikan sikap prejudis terhadap Islam sehingga melabelkannya dengan gelaran yang tiada kaitan dengannya...
“Hentikan membuat kenyataan tanpa pengetahuan terhadap Islam yang mendedahkan kebodohan sendiri,” katanya.
