Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor sebahagian dari Malaysia, kata Mahathir
Diterbitkan:  Apr 11, 2019 1:20 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa tidak timbul isu beliau mencampuri urusan dalaman pentadbiran Johor kerana negeri itu adalah sebahagian dari Malaysia.

Katanya, jika Johor adalah negeri atau negara asing, beliau akan mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri segala urusan dalaman.

“Saya tidak tahu (dakwaan campurtangan hal dalaman pentadbiran Johor). Tetapi saya percaya Johor adalah sebahagian daripada negara ini.

“Melainkan Johor negara asing, saya tidak campurtangan dalam hal dalaman negara luar itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malaysia Autoshow 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang, hari ini.

Mahathir mengulas kenyataan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar supaya orang luar tidak mencampuri urusan negeri itu.

Melalui satu hantaran di Facebook, baginda mahu “pihak tertentu” berhenti membuat bising dan bertelagah mengenai politik.titah sedemikian kerana negeri itu berdaulat dan masih mempunyai seorang Sultan.

Tanpa menyebutkan nama secara khusus, baginda menyarankan pihak berkenaan tumpukan kepada usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan.

“Saya akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti,” katanya, semalam.

Ketegangan timbul antara istana Johor dan Dr Mahathir dalam isu ratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) dengan perdana menteri mengumumkan bahawa Malaysia menarik diri berikutan kekeliruan dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat.

Dakwa Mahathir ini berpunca daripada kekeliruan yang dicipta oleh orang tertentu "yang ingin bebas memukul orang dan melakukan perkara seperti itu".

"Jika dia pukul orang lagi, saya akan hantar polis untuk menangkapnya. Saya tidak peduli siapa dia," kata Mahathir.

Ketegangan itu ditambah lagi dengan pengosongan kerusi menteri besar Johor yang kedua-dua pihak (istana dan parti pemenang dalam pilihan raya) mendakwa mempunyai hak menentukan siapa pengganti Osman Sapian.

Lihat Komen
ADS