Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen
Diterbitkan:  Apr 11, 2019 3:41 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Najib Razak (BN-Pekan) hari ini dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menghina Dewan Rakyat apabila melanggar Peraturan Mesyuarat 95A.

Ini susulan tindakan bekas perdana menteri itu yang melanggar embargo Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda dengan memuat naik sebahagian daripada kandungan itu di halaman Facebooknya.

Ini diputuskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof selepas undian belah bahagian dengan 86 anggota parlimen menyokong sementara 33 lagi menolak.

Usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang antara lain menyebut Kertas Putih adalah Kertas Perintah 6 Tahun 2019 yang masih dalam Embargo sehingga jam11.30 pagi pada Rabu (10 April ).

“Bahawa Dewan yang mulia ini memandang serius perbuatan Yang Berhormat Pekan di mana Yang Berhormat Pekan telah melanggar Embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Perbuatan Yang Berhormat Pekan jelas melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan disifatkan telah melakukan suatu perbuatan menghina Majlis.

"Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhormat Pekan hendaklah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen,” katanya.

Najib didakwa memuat naik kertas putih itu di laman sosial pada jam 5.39 petang Selasa.

Usul untuk merujuk bekas perdana menteri kepada jawatankuasa itu dibuat selepas perbahasan yang hangat oleh lapan ahli parlimen.

Ia dimulakan Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakub (BN-Bera), diikuti Ketua Whip Kerajaan, Johari Abdul (PH-Sungai Petani); Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian), Ngeh Koo Ham (PH-Beruas); Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong); Takiyuddin Hasan (PAS-Kota Bharu) dan Noh Omar (BN-Tanjung Karang).

Beberapa ahli parlimen BN bertegas mahu Najib bersama diri mereka sendiri digantung selama tiga bulan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS