Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Span arah tutup loji air tercemar arsenik di Perak

Lembaga Air Perak (PAP) diarahkan menutup Loji Rawatan Air (LRA) di Ayer Ganda kerana mengandungi arsenik, sejenis bahan kimia logam berat yang berbahaya kepada kesihatan di dalam air terawat.

Air terawat tersebut untuk bekalan kepada 1,500 penduduk di Kampung Ayer Ganda di Gerik, Perak.

"Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) telah beri arahan untuk tutup LRA Ayer Ganda, Gerik, Perak kerana pencemaran arsenik kepada air mentah (dari Sungai Rui).

"Aresenik ini beracun dan boleh menyebabkan kanser," kata Pengerusi Span Charles Santiago.

Menurutnya, Span diberitahu mengenai pencemaran arsenik itu pada 9 Januari lalu oleh Kementerian Kesihatan yang menjalankan pemeriksaan bulanan ke semua loji rawatan air dan mengarahkan LAP bertindak.

Agensi kerajaan ambil tindakan susulan

Pada ketika itu, Santiago berkata Span telah mengarahkan pengendali bekalan air untuk mengambil tindakan tegas, antaranya menutup loji rawatan tersebut.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bacaan pada Februari tidak menunjukkan pencemaran arsenik, tetapi pada Mac lalu kimia itu kembali dikesan di dalam air.

"Dalam mesyuarat pengurusan pada Selasa (9 April), Span memutuskan untuk menulis untuk memberi amaran kepada mereka (PAP) supaya segera menutup LRA Ayer Ganda.

"Jadi ini amat penting dan kami meminta beberapa agensi kerajaan untuk mengambil tindakan susulan," katanya kepada media di lobi parlimen hari ini.

Santiago berkata Span terpaksa mengeluarkan arahan tersebut selepas LAP gagal untuk menyelesaikan masalah bekalan air tercemar arsenik dan suruhanjaya itu tidak akan berkompromi dalam isu kesihatan.

"Jika air tak selamat diguna, maka tutup (LRA).

"Khususnya untuk wanita hamil dan kanak-kanak, jadi masalah besar," jelasnya lagi.

Dilaporkan pada awal bulan ini tahap arsenik yang rendah didapati dalam sampel air yang diambil dari Sungai Rui pada 2016.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu (gambar) dilaporkan mengetuai pasukan petugas khas untuk menyiasat keracunan arsenik di Sungai Rui.

Menurut menteri besar, arsenik terdapat di daerah Hulu Perak, kemungkinan kerana aktiviti perlombongan, hakisan tanah dan pertanian.

Sementara itu, MP Klang juga menggesa Kementerian Kesihatan menjalankan pemeriksaan terhadap 1,500 penduduk kampung yang secara langsung atau tidak langsung mendapat kesan bekalan air tercemar arsenik itu.

"Sementara itu, untuk Sungai Rui pula, kami minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memeriksa ikan, sungai tercemar, sayur-sayuran," katanya.

Menjawab soalan pemberita, Santiago berkata Span akan meneliti kemungkinan kecuaian melibatkan pengendali bekalan air.

"Saya ingin beritau semua pengendali bekalan air di Malaysia jangan main-main dengan isu kesihatan rakyat, kami perlu serius. Ini tidak bertanggungjawab.

"Punca (berdasarkan) kajian dibuat oleh beberapa agensi, ada lombong di sana dan oleh kerajaan (didapati) tidak dijaga dengan bagus...," katanya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS