Malaysiakini BERITA

Kekebalan Tok Mat bakal teruji di Rantau

Zikri Kamarulzaman & Nantha Kumar  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PRK RANTAU | Selama lebih 14 tahun, Mohamad Hasan mempunyai pengaruh yang besar di Rantau. Semua kerusi yang ditandingi beliau akan beroleh kemenangan dengan tahap sokongan tidak pernah kurang 65 peratus daripada jumlah undian keseluruhan.

Selepas berjaya membantu BN memenangi dua pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sebagai pemangku tugas presiden Umno, Mohamad dijangka bakal mengekalkan kemenangannya dalam PRK esok.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu tidak lagi dilihat sebagai kebal seperti sebelum ini.

Meskipun PRK ini adalah pertandingan empat penjuru termasuk dua dari calon bebas iaitu R Malar dan Mohd Nor Yassin, tetapi ia dijangka bertumpu antara calon PH Dr S Steram dan Mohamad.

Dari segi kehadiran kempen ceramah, ia dilihat bukan kayu ukur yang sesuai untuk melihat sokongan sebenar kerana ramai yang datang bukan dari kalangan pengundi di Rantau.

Tidak seperti PRK Cameron Highlands dan Semenyih yang mana kemenangan BN dapat dilihat dalam kempen saat akhir, sokongan pengundi di Rantau masih tidak jelas pada pada hari terakhir sebelum pengundian.

Rata-rata pengundi Rantau yang ditemui Malaysiakini menyatakan sokongan yang tegas sama ada untuk BN atau PH.

Jika sebahagian besar pengundi ini mengekalkan sokongan mereka seperti sebelum ini, PRK Rantau akan menyaksikan saingan sengit dengan perbezaan undi yang sedikit.

Pengundi DUN Rantau tidak mengundi sebelum ini, semasa pilihan raya umum lepas kerana Mohamad menerima kemenangan tanpa bertanding. Bagaimanapun, mereka mengundi di peringkat parlimen.

Berdasarkan data parlimen, kira-kira 48.01 peratus memilih PH manakala 45.6 peratus menyokong BN. PAS menerima 4.54 peratus daripada jumlah undi.

Ini tidak bermakna bahawa Mohamad akan kalah jika ada pertandingan untuk kerusi DUN Rantau pada pilihan raya umum ke-14, kerana dia disukai oleh penduduk tempatan dan mempunyai daya tarikan peribadi.

'Sentuhan peribadi Mohamad'

Dilahirkan dan dibesarkan di Rantau, Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat atau Mat Hasan sangat dikenali kebanyakan pengundi di sana yang menghargai sumbangannya.

"Dia telah banyak membantu masyarakat India, sekolah, kuil dan pendidikan untuk anak-anak kita, dia membantu setiap kaum," kata Murugan, seorang mekanik berusia 53 tahun kepada Malaysiakini ketika ditemui di Taman Kelab Tuanku, sebuah daerah mengundi di mana BN menang pada PRU lalu di peringkat parlimen.

Pengundi Melayu di kawasan pedalaman juga dilihat senang dengan Mohamad kerana dikatakan sering meluangkan masa menghadiri majlis karamaian atau pengkebumian.

Malah, penyelaras PH, Azmi Said mengakui pengundi di Kampung Sega, yang merupakan kawasan pengundi terbanyak BN di Rantau, majoritinya masih setia dengan Umno.

"Mereka masih setia kepada Tok Mat dan Umno, dia selalu pergi kenduri atau majlis keraian.

"Dia masuk kampung-kampung memang tak ada protokol, dia nak masuk dapur makan ke tapau makanan ikut suka hati dia saja. Itu kelebihan dia," kata Azmi yang juga ketua jawatankuasa kampung Kampung Sega Hilir.

Azmi juga turut menambah bahawa keluarganya sendiri masih menyokong BN, walaupun dia telah menjadi anggota PKR selama 18 tahun.

Dalam siri kempennya, Mohamad juga sering dilihat membuat tinjauan secara bersendirian untuk melawat pengundi di sebelah petang tanpa memaklumkan kepada media atau pegawainya sendiri.

Berbeza dengan Streram - yang telah tinggal di Rantau lebih daripada tiga tahun, yang digambarkan oleh pengkritik sebagai watak yang janggal.

"Kami pernah minum bersama dia, kami cuba (mengenali dia), tetapi kami tidak dapat memahami apa yang dikatakannya," kata pengundi Felda Sendayan, Saiful Sarani, 37 tahun.

Turut tidak senang dengan gaya Streram, seorang lagi penyokong BN dari Kampung Sega Hulu, Mohd Amin Hashim yang mengimbas ketika calon PH itu membuat lawatan mangsa banjir sebelum ini.

"Streram dibawa untuk melihat mangsa banjir sebelum ini dan mereka yang mengalami banjir telah kehilangan semua harta benda mereka, tetapi Streram tengok sahaja dan hanya bertanya sejauh mana tahap banjir yang dialami.

"Kami pun tunjuklah (banjir) dekat tiga kaki, kemudian dia balik," cerita Mohd Amin.

Malah, isteri Mohd Amin, Intan turut memberikan maklum balas dengan menyatakan bahawa Streram "tidak sensitif".

Bagaimanapun, Mohd Amin berkata mangsa banjir akhirnya mendapat bantuan daripada Mohamad.

Streram, seorang pakar bius, dilihat kelihatan kurang karisma berbanding Mohamad.

'Rayuan Streram kepada pengundi India'

Kempen PH dilihat kurang menekankan Streram sebagai calon pilihan mereka dan sebaliknya memberi tumpuan mempromosikan pemimpin tertinggi parti pemerintah, termasuk Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang merupakan Anggota Parlimen Port Dickson

Rantau adalah kerusi negeri dalam kerusi Parlimen Rembau, yang berhampiran dengan Port Dickson.

Bagaimanapun, Streram dilihat begitu fasih dalam berbahasa Tamil dan dilihat begitu dekat dengan pengundi India, yang mewakili 27 peratus daripada pengundi di Rantau.

[Baca berita penuh]