Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sedang menimbang untuk memberikan bantuan kewangan kepada Palestin yang menghadapi kemungkinan dikenakan sekatan wang ekoran kemenangan Hamas dalam pilihan raya parlimen negara itu baru-baru ini.

"Saya sudahpun bercakap dengan beberapa pemimpin mengenainya. Kita mahu membantu rakyat Palestin," kata Perdana Menteri dalam satu temu bual dengan Associated Press (AP) di Putrajaya.

Abdullah, yang juga Pengerusi OIC, menyeru mereka yang telah membantu rakyat Palestin sebelum ini supaya terus berbuat demikian walaupun terdapat perubahan kepimpinan di negara itu.

Kabinet Israel dilaporkan menghentikan pembayaran US$50 juta sebulan kepada Pihak Berkuasa Palestin yang merupakan wang daripada cukai yang dikutip bagi pihak Palestin.

Menurut laporan Bernama, Amerika Syarikat juga telah meminta supaya wang berjumlah US$50 juta bagi tujuan pembinaan projek infrastruktur di Gaza dikembalikan kerana ia tidak mahu wang itu digunakan oleh sebuah kerajaan yang diterajui oleh Hamas.

Mengenai Hamas yang kini menjadi parti menguasai parlimen Palestin , Abdullah berkata rakyat Palestin mempunyai alasan mereka sendiri untuk memilih sebuah kerajaan yang diterajui Hamas.

Perdana Menteri berkata beliau berpendapat Hamas akan menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak ingin melihat rakyat Palestin terus hidup dengan diancam keganasan.

Beliau berkata Hamas telah banyak menjalankan kerja kebajikan dan ini diiktiraf oleh rakyat Palestin.

Usaha Malaysia

Ketika ditanya sama ada beliau akan cuba memujuk Hamas supaya saling hidup dalam keadaan aman dengan Israel, Abdullah berkata : "Saya telah menulis kepada mereka dan meminta mereka mengambil peluang daripada keadaan sekarang dan berusaha ke arah proses kedamaian."

Perdana Menteri berkata beliau yakin Hamas akan melihat kebaikan daripada saranan yang ditujukan kepada mereka.

Abdullah berkata rakyat Palestin mahukan keamanan kerana mereka telah lama menderita.

"Berilah peluang kepada mereka untuk hidup dalam keadaan aman, dan apabila mereka aman, mereka akan tahu bagaimana untuk hidup dengan aman dengan pihak lain juga," katanya.

Temu bual itu juga menyentuh mengenai kemarahan umat Islam berhubung penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad s.a.w dalam beberapa akhbar Eropah.

Abdullah berkata umat Islam sedang marah terhadap apa yang sedang berlaku terhadap penduduk di Iraq dan Palestin, dan rasa marah ini meningkat dengan tersiarnya karikatur itu kerana ia dianggap satu perbuatan provokasi.

Katanya walaupun insiden itu menimbulkan rasa saling tidak percaya mempercayai, beliau berharap ia tidak akan menyebabkan semua pihak berpendapat tiada apa yang boleh dilakukan untuk meningkatkan hubungan.