Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilu Indonesia: Antara 'kecurangan' dan berita palsu

ULASAN | Penemuan ribuan kertas undi untuk pengundi warganegara Indonesia di Malaysia yang telah dicucuk semalam menambahkan lagi bahang pemilihan presiden (Pilpres) di negara jiran itu yang akan dilakukan secara serentak kurang dari seminggu.

Dalam beberapa klip video yang tular, sekumpulan penyokong pasangan calon presiden Prabowo-Sandiaga Uno mendatangi dua buah rumah kedai tempat penyimpanan rahsia kertas undi di Kajang dan Bangi.

Mereka menunjukkan sejumlah kertas undi yang sudah dicucuk pada gambar Jokowi-Ma’ruf Amin.

Kertas undi yang telah dipangkah ditemui di Malaysia.

Kelompok penyokong calon presiden Jokowi dan pro-Prabowo kemudian saling tuduh siapa dalang sebenar di sebalik pendedahan ini.

Isu ini akan terus diperkatakan sehingga pihak-pihak berwenang, sama ada dari pelaksana pilihan raya Indonesia, mahupun PDRM, tuntas melakukan siasatan.

Saya percaya tidak sukar bagi mereka untuk mengetahui plot dan menemukan dalang di sebalik kes ini dalam masa singkat.

Bagaimanapun, insiden ini telah memberi dampak kepada proses pengundian bagi pengundi warga negara Indonesia di Malaysia.

Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) telah meminta supaya semua proses pengundian di Malaysia, sama ada melalui pos, edaran kotak undi, mahupun pembuangan undi secara langsung yang dijadualkan pada 14 April ini ditunda sampai kes ini selesai.

Memandangkan lebih sejuta pengundi di Malaysia merupakan pengundi Indonesia terbesar di luar negara, maka pasti memberikan dampak yang besar kepada proses dan hasil Pemilu.

Isu ini juga akan digunakan Prabowo untuk mengatakan bahawa Pilpres dan Pemilu banyak berlaku kecurangan jika dia kalah.

Kes ini juga merupakan satu lagi tamparan hebat kepada Komisi Pemilihan Umum (KPU) sebagai lembaga yang melaksanakan Pemilu.

Semenjak hari penamaan dan bermulanya kempen calon presiden pada bulan September tahun lepas, KPU telah menjadi sasaran dari kelompok penyokong Prabowo yang mempersoalkan kredibiliti lembaga tersebut.

'Hoax' jadi makanan ruji

Mulai dari tuduhan dari salah seorang ahli politik pendukung Prabowo bahawa terdapat tujuh buah peti besi berisi kertas undi yang telah dicucuk, sehingga video tular penjelasan seseorang bahawa server pengiraan undi KPU telah diubah suai untuk kemenangan pasangan calon Jokowi-Ma’ruf Amin sebesar 57 peratus.

Isu-isu tersebut sempat tular dan membuat kegaduhan. Namun setelah disiasat, terbukti bahawa semua tuduhan tersebut tidak benar.

Berita palsu atau hoax seolah-olah telah menjadi makanan ruji masyarakat Indonesia menjelang Pilpres dan Pemilu kali ini.

Pembohongan Ratna Sarumpaet yang kesnya sedang dibicarakan di mahkamah saat ini adalah contoh nyata bagaimana hoax dicipta.

Ratna Sarumpaet. Foto ehsan Tempo Indonesia. 

Pada mulanya dia mengaku telah dianiaya oleh aparat negara. Gambar mukanya yang lebam cepat tersebar dan mendapat simpati banyak pihak.

Pengakuannya dipercayai oleh Prabowo yang kemudian mengadakan sidang media bersama Ratna dan elit-elit parti pendukungnya yang disiarkan secara langsung di televisyen dan ditonton oleh seluruh rakyat Indonesia.

Prabowo secara tidak langsung menuduh aparat negara kakitangan Jokowi yang melakukan penganiayaan kerana Ratna dikenal selalu keras mengkritik Jokowi.

Keesokan hari, hasil siasatan polis mendapati bahawa tidak pernah ada penganiayaan dan lebam di muka Ratna disebabkan oleh suntik botox dan pembedahan plastik.

Setelah kebohongan terbongkar, Ratna membuat pengakuan di sidang media yang hanya dihadiri sendiri, tanpa Prabowo dan orang-orang yang hadir dalam sidang media sehari sebelumnya.

Semenjak itu, sudah banyak pembuat dan penyebar hoax politik, sama ada dari pendukung Jokowi mahupun Prabowo di media sosial dipenjarakan, namun tidak pernah membuat jera.

Bukan tidak mungkin penemuan kertas undi yang sudah dicucuk ini merupakan sebahagian daripada upaya untuk menciptakan hoax.

Meskipun pihak pro-Jokowi mahupun pro-Prabowo memiliki peluang yang sama untuk menjadi tertuduh yang melakukan upaya penipuan ini.

Memang di era pascakebenaran ini, hampir mustahil bagi setiap orang yang bergantung dengan dunia digital untuk tidak menerima dan menyebarkan setiap maklumat yang tidak ditapis.

Teknik Bolsonaro

Realitinya, hanya beberapa minit diperlukan untuk membuat dan menyebarkan berita palsu, tetapi pihak berwenang memerlukan masa beberapa jam untuk mengesahkan kebenaran sesebuah berita.

Dalam kes penemuan kertas undi ini, fakta sebenar mungkin baru akan jelas selepas beberapa hari, minggu, atau bahkan mungkin berbulan-bulan.

Namun, sekarang masing-masing pihak sudah pun membuat andaian dan tuduhan. Pembuat dan penyebar berita palsu selalu lebih ke hadapan dalam menyebarkan sesebuah isu.

Berita palsu juga dituduh sebagai penyebab Brexit dan kemenangan Donald Trump. Semenjak itu, penyebaran berita palsu selalu dikaitkan dengan satu teknik propaganda yang dikenali sebagai firehose falsehood.

Salah satu ciri propaganda ini ialah penyebaran maklumat palsu atau fiksyen dalam kadar yang sangat tinggi. Matlamatnya ialah untuk mempengaruhi psikologi manusia dengan naratif ketakutan melalui pengabaian data dan fakta melalui lambakan maklumat dari pelbagai sumber.

Teknik ini juga digunakan oleh tokoh sayap kanan, Bolsonaro yang memenangi pilihan raya di Brazil tahun 2018.

Melihat pengalaman-pengalaman pilihan raya mahu pun referendum yang menggunakan teknik propaganda tersebut, ia lebih berkesan digunakan oleh pihak bukan penyandang atau oposisi.

Walaupun pelbagai survei menunjukkan Jokowi masih memiliki peluang untuk terpilih lagi, namun ia agak sukar menangkis pelbagai serangan propaganda ini.

Bagi Prabowo mahupun Jokowi, untuk menang dalam pemilihan presiden kali ini, mengurus propaganda balas juga sama pentingnya dengan memperkenalkan program-program ekonomi jika terpilih nanti.


MUHAMMAD FEBRIANSYAH ialah pensyarah sains politik di Universiti Sains Malaysia (USM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS