Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Kekalahan di Rantau peringatan buat pemimpin PH
Diterbitkan:  Apr 13, 2019 9:12 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Biarpun menerima kekalahan pilihan raya kecil (PRK) Rantau, Presiden PKR Anwar Ibrahim yakin PH akan kembali bangkit untuk mendapat sokongan rakyat selepas ini.

Katanya, PH perlu menjadikan kekalahan tersebut sebagai suatu peringatan agar lebih mendengar kebimbangan yang dirasai oleh rakyat.

“Kekalahan ini merupakan peringatan kepada pimpinan PH untuk terus memberi perhatian yang sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berhubung isu ekonomi dan kos sara hidup,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Katanya, keputusan PRK Rantau yang diumumkan malam ini merupakan keputusan daripada rakyat yang harus dihormati.

“PH dan PKR menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan tahniah kepada (calon BN) Mohamad Hasan.

“[...] Terima kasih juga kepada jentera PKR serta parti komponen PH yang lain kerana berjaya menunjukkan kematangan dan contoh baik ketika sesi kempen,” tambahnya lagi.

Pada jam 8.45 malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN Mohamad Hasan menang secara rasmi dengan memperoleh 10,379 undi, mengalahkan calon PH Dr S Streram dengan 5,887 undi.

Sementara itu, calon bebas R Malar dan Mohd Nor Yassin masing-masing menerima 83 dan 79 undi.

Daripada 20,926 pengundi berdaftar, DUN Rantau mempunyai 55.51 peratus atau 11,615 pengundi Melayu, Cina (18.46 peratus atau 3,863), India (26 peratus atau 5,441) dan lain-lain (0.03 peratus atau tujuh).

PRK DUN Rantau adalah PRK ketujuh selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan) serta DUN Semenyih (2 Mac).

SPR turut memaklumkan PRK Rantau mencatatkan 79.3 peratus keluar mengundi, sementara undi rosak pula sebanyak 146 undi.

Lihat Komen
ADS