Keputusan kerajaan persekutuan untuk meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bakal memberi impak besar terhadap pembangunan negeri Kelantan, kata menteri besar Ahmad Yakob.
Justeru katanya, Kelantan merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan persekutuan susulan persetujuan membangunan kemudahan itu.
"Sebagaimana dimaklumkan bahawa dua buah stesen akan dibangunkan di negeri ini iaitu stesen Kota Bharu dan Tok Bali.
"Kerajaan negeri melihat keputusan ini akan memberi impak yang besar kepada majoriti rakyat Kelantan khususnya dalam membuka peluang pekerjaan menerusi pelbagai bidang yang berkaitan dengan pembinaan dan pengangkutan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).
Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.
Sebagai rekod, projek ECRL asalnya dicadangkan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak. Upacara pecah tanah untuk projek berkenaan dilakukan pada Ogos 2017.
ECRL akan menghubungkan Port Klang ke Kelantan dan mengikut rancangan asal landasan itu mengunjur sehingga 688km.
Selepas PH membantuk kerajaan pada Mei tahun lalu, pelaksanaan projek ECRL dikaji semula selepas mendapati kos pembinaannya terlalu tinggi.
Sementara itu, Ahmad berkata, projek tersebut merupakan langkah positif dalam merancakkan ekonomi negeri dengan adanya kemudahan pengangkutan yang lebih efisien dan mampu menguruskan transaksi barangan yang pelbagai serta berskala besar.
Jelasnya, ia secara langsung akan merubah landskap keusahawanan menjadi lebih kondusif dan kompetetif untuk semua warga Malaysia.
"Seandainya kewujudan ECRL ini diurus dengan baik dan mengikuti piawaian sebenar, ini akan memberi Malaysia satu lagi fasiliti bertaraf antarabangsa yang akan memacu negara ini menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesat setanding dengan negara maju lain," katanya.
