Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak wajar KM S'wak persoal kakitangan saya - Liew
Diterbitkan:  Apr 14, 2019 9:14 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Menteri undang-undang, Liew Vui Keong kesal dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg yang dilihat mempersoalkan usaha dilakukan kakitangannya untuk membawa pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ini selepas usul itu gagal mendapat sokongan apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai Abang Johari enggan memberikan undi mereka.

"Kenyataan itu, jika dibuat, adalah benar-benar tidak wajar kerana ia telah menjejaskan keyakinan dan semangat para pegawai dari Pejabat Perdana Menteri (PMO), Jabatan Hal Ehwal Undang-Undang JPM (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Bagaimanapun, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan dari PMO, BHEUU dan AGC yang menyumbangkan dan mengorbankan begitu banyak usaha mereka untuk membawa perubahan ke arah hak bersama untuk seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan media.

Menurut Liew meskipun Rang Undang-undang yang diusulkan gagal mendapat persetujuan, semua pihak dari PMO, BHEUU, AGC dan parlimen masih mampu berbangga kerana bekerja sebaik mungkin tanpa mengira masa dan penat lelah.

"Ia dengan harapan para Ahli Parlimen dapat mengundi dalam Dewan Rakyat dengan bebas dan secara demokrasi seperti yang diamalkan oleh negara kita," katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga mengormati hak demokratik seramai 59 anggota parlimen untuk tidak mengundi semasa pengundian dijalankan.

"Mulai sekarang, rakyat Malaysia dan generasi akan datang dapat menilai tindakan kami, betul atau salah.

"Fakta yang nyata akan tetap kekal sebagai antara usaha murni oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membawa Sabah dan Sarawak kembali pada kedudukan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963, sejajar dengan semangat perjanjian itu, beserta negeri-negeri di Tanah Melayu," katanya.

Cadangan pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan dibentangkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada 9 April lalu.

RUU berkenaan yang dibahaskan hampir tujuh jam, adalah antara usaha kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia pada 1963.

Bagaimanapun ia tidak dapat diteruskan untuk bacaan seterusnya apabila gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga selepas anggota parlimen dari GPS dan pembangkang tidak mengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS