Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai, anggota polis didakwa peras ugut warga asing
Diterbitkan:  Apr 15, 2019 8:23 AM
Dikemaskini: 12:23 AM

Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan kes pemerasan melibatkan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Roslan Bek Ahmad berkata pengadu mendakwa ditahan dua individu yang memperkenalkan diri sebagai polis ketika memandu kereta berhampiran UCSI Taman Connaught pada kira-kira 4 petang Selasa.

“Mereka membuat pemeriksaan dalam kereta pengadu dan menjumpai dadah, namun pengadu menafikan dadah dijumpai itu miliknya.

“Pengadu juga mendakwa ditumbuk di bahagian muka dan dibawa ke Balai Polis Cheras.

"Semasa di balai, pengadu diberi pilihan sama ada mengaku dadah dijumpai tersebut merupakan miliknya, atau membayar RM5,000 dan akan dibebaskan,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Roslan berkata pengadu kemudian membayar jumlah wang berkenaan sebelum dibebaskan.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti empat pegawai dan anggota yang disyaki terlibat, dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera).

Katanya siasatan diteruskan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh pegawai atau anggotanya,” kata beliau.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Lee Chen Shim di talian 016-713 2740, Pegawai Penyiasat ASP Mohd Hafizee Ismail di talian 013-358 7571, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS